Apa kesan terhadap sektor penerbangan jika perang AS-Iran berlarutan?

Apa kesan terhadap sektor penerbangan jika perang AS-Iran berlarutan?

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Konflik Timur Tengah yang kembali tercetus berisiko meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan, melonjakkan tambang dan menjejaskan permintaan perjalanan sekiranya ketegangan berpanjangan, kata Pensyarah Pembangunan Ekonomi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Tan Peck Leong.

Beliau berkata, kesan paling segera terhadap industri penerbangan adalah peningkatan harga bahan api jet selain gangguan terhadap laluan penerbangan, khususnya membabitkan hab transit utama di Timur Tengah.

Katanya, berdasarkan penanda aras bahan api jet US Gulf Coast, harga purata bahan api itu meningkat daripada kira-kira AS$2.03 segelen pada Januari 2026 kepada hampir AS$3.94 segelen pada April dan Mei sebelum menurun pada Jun ketika ketegangan geopolitik mereda.

“Namun, harga kembali meningkat pada Julai apabila konflik tercetus semula dan secara keseluruhannya, harga bahan api jet dalam beberapa bulan kebelakangan ini berada pada paras jauh lebih tinggi berbanding awal tahun.

“Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bahan api merangkumi kira-kira 25.4 peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat penerbangan pada 2025 dan bahagian ini dijangka meningkat kepada 31.4 peratus tahun ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kenaikan kos bahan api akan menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa membuat pilihan sama ada menyerap sebahagian kos, mengurangkan kekerapan penerbangan, menyusun semula laluan atau memindahkan kos kepada penumpang menerusi tambang dan surcaj lebih tinggi.

Beliau berkata, konflik turut berisiko mengganggu laluan penerbangan antara Asia dengan Eropah dan Amerika Syarikat, berikutan Dubai dan Doha menjadi hab transit penting bagi perjalanan antara Timur dan Barat.

“Sekiranya ruang udara di rantau berkenaan ditutup atau dianggap tidak selamat, penerbangan mungkin perlu dibatalkan, dikurangkan atau dialihkan melalui laluan lebih jauh.

“Pengalihan laluan meningkatkan masa penerbangan, penggunaan bahan api, waktu bekerja kru dan kos pengendalian pesawat,” katanya.

Tan berkata, keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan tambang meningkat apabila penumpang beralih kepada laluan alternatif yang mempunyai kapasiti terhad.

Dalam tempoh lebih panjang katanya, harga tiket yang semakin mahal berpotensi menyebabkan sebahagian pengguna menangguhkan atau membatalkan perjalanan.

Mengulas kesan terhadap sektor pelancongan Malaysia, beliau berkata, industri itu masih menunjukkan daya tahan dalam jangka pendek, disokong kukuh oleh pasaran serantau.

Malaysia merekodkan 17.5 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 71.86 peratus daripadanya datang dari negara ASEAN.

Katanya, keadaan itu memberikan sedikit perlindungan kepada sektor pelancongan negara kerana sebahagian besar pelawat tidak semestinya perlu melalui ruang udara Timur Tengah.

Bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia, peningkatan tambang penerbangan jarak jauh dijangka mendorong perubahan corak perjalanan, khususnya daripada destinasi Eropah dan Amerika kepada destinasi lebih dekat.

“Perjalanan dalam ASEAN serta destinasi Asia yang lebih dekat mungkin menjadi pilihan lebih praktikal seperti Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, Kemboja, China, Jepun atau Korea, bergantung kepada harga tiket dan ketersediaan penerbangan.

“Pada peringkat awal, pengguna mungkin menukar destinasi daripada perjalanan jauh kepada perjalanan dekat, menempah lebih lewat, memilih syarikat penerbangan tambang rendah atau memendekkan tempoh percutian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top