Salina Saibi tampil bertudung, mohon doa terus istiqamah

Salina Saibi tampil bertudung, mohon doa terus istiqamah

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Salina Saibi, 44, enggan mengesahkan sama ada penampilan terbaharunya yang kini bertudung adalah perubahan kekal, sebaliknya memohon doa agar terus beristiqamah.

Salina yang ditemui pada acara Weekend Fete Al Aqsa Carpets, di sini, semalam berkata, dia masih dalam proses memperbaiki diri selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada Syawal lalu.

“Saya takut nak cakap mengenai perkara ini. Tapi setakat ini semuanya baik, inilah saya. Yang apa kalian nampak, inilah dia.

“Ia sebenarnya selepas saya balik umrah, tapi insya-Allah doakan saya sebab iman saya pun masih lemah.

“Setiap kali nak keluar memang cari tudung, Alhamdulillah ini satu perkembangan positif untuk diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 ini mengakui keputusan tampil dengan imej baharu itu dibuat atas kerelaan diri sendiri kerana Allah, bahkan suaminya, Azmir Osman tidak pernah meletakkan sebarang paksaan.

Menurutnya, biarpun ada perasaan rindu terhadap penampilan lamanya, dia menyedari faktor usia dan hakikat kehidupan membuatnya mahu berubah ke arah yang lebih baik.

“Saya rindu rambut saya yang seksi itu sebenarnya sebab rambut saya sangat cantik. Tapi itulah dugaan saya.

“Saya rasa sudahlah, hidup separuh abad dah. Kita tak tahu hidup sampai umur berapa, jadi kalau boleh berbuat baik untuk diri sendiri, buatlah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top