Proton X90 2026 dipertingkat

Proton X90 2026 dipertingkat

lizamridzuan@hmetro.com.my

SEJAK diperkenalkan pada 2023, Proton X90 menjadi pilihan keluarga yang mahukan SUV bersaiz segmen-D dengan tiga baris tempat duduk pada harga lebih mampu milik. Kini, Proton tampil dengan versi dipertingkat untuk model 2026 yang bukan sekadar menerima kemas kini kosmetik, malah membawa perubahan paling besar di bawah bonet.

Varian Prime yang dipandu uji Vroom kali ini berada di pertengahan barisan model X90 yang menawarkan keseimbangan antara harga, kelengkapan dan keselesaan, sekali gus menjadikannya pilihan praktikal untuk kebanyakan pembeli keluarga.

Secara keseluruhan, Proton masih mengekalkan identiti X90 yang premium terutama rekaan hadapan masih menampilkan gril Infinity Weave Signature yang dipadankan dengan lampu utama LED serta DRL yang memberi imej moden.

Walaupun perubahan luaran tidak begitu drastik, kemasan baharu serta rekaan rim aloi 18 inci berjaya memberikan penampilan yang lebih segar. Profil sisi menyerlahkan dimensi SUV sebenar dengan panjang hampir 4.8 meter, manakala bahagian belakang mengekalkan lampu LED penuh yang dihubungkan dengan jalur krom. Bagi sebuah SUV keluarga, rekaannya masih kelihatan elegan tanpa terlalu sarat dengan elemen sporty.

Namun kekuatan utama Proton X90 Prime terletak pada ruang kabinnya menerusi konfigurasi 2-3-2 membolehkan ia memuatkan sehingga tujuh penumpang, sesuai untuk keluarga besar atau mereka yang kerap membawa rakan serta saudara ketika perjalanan jauh.

Barisan kedua menawarkan ruang kaki dan ruang kepala yang sangat selesa untuk penumpang dewasa. Kerusi boleh digelongsorkan ke hadapan atau belakang bagi memberi lebih fleksibiliti kepada penumpang barisan ketiga.

Apa yang menarik, akses ke barisan ketiga juga agak mudah hasil bukaan pintu yang besar. Walaupun lazimnya kerusi barisan ketiga dalam SUV sekadar sesuai untuk kanak-kanak, Proton X90 masih mampu memuatkan dua orang dewasa bagi perjalanan jarak dekat tanpa terlalu menghimpit.

Apabila ketiga-tiga barisan digunakan, ruang but masih boleh memuatkan beberapa beg kecil. Namun apabila barisan ketiga dilipat rata, ruang kargo bertambah luas dan cukup praktikal untuk membawa bagasi, basikal lipat mahupun barangan membeli-belah. Proton menyatakan kapasiti maksimum ruang kargo mencecah sekitar 2,050 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Suasana premium terus dirasai menerusi penggunaan balutan kulit Nappa pada tempat duduk serta kemasan lembut pada papan pemuka. Paparan infotainmen bersaiz 12.3 inci masih menjadi tumpuan utama, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kluster meter digital pula memaparkan maklumat pemanduan dengan jelas serta mudah dibaca.

Susun atur butang juga lebih ringkas, menjadikan pengalaman mengendalikan pelbagai fungsi ketika memandu lebih intuitif.

Sistem pendingin hawa dua zon bersama corong pendingin hawa untuk penumpang belakang memastikan suhu dalam kabin kekal nyaman walaupun ketika cuaca panas.

Perubahan terbesar Proton X90 baharu terletak pada nadi penggeraknya yang kini menggunakan enjin 1.5 liter i-GT empat silinder turbo yang menggantikan enjin tiga silinder bersama sistem Mild Hybrid 48V sebelum ini. Enjin baharu itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar (7DCT) dan menghasilkan sekitar 181 PS serta 290 Nm tork.

Sepanjang sesi pandu uji, karakter enjin baharu ini nyata lebih halus,

getaran ketika melahu hampir tidak dirasai, manakala bunyi enjin juga jauh lebih senyap berbanding model terdahulu.

Pecutan dari kedudukan pegun terasa lebih linear, sementara penghantaran kuasa ketika memotong di lebuh raya dilakukan dengan lebih yakin.

Walaupun berat keseluruhan kenderaan mencecah sekitar 1.7 tan, enjin ini masih mempunyai simpanan kuasa yang mencukupi untuk membawa tujuh penumpang tanpa rasa terbeban. Kotak gear 7DCT juga menukar nisbah gear dengan lancar dan tidak menunjukkan karakter kasar ketika bergerak perlahan dalam kesesakan lalu lintas.

Sebagai sebuah SUV keluarga, Proton X90 lebih mengutamakan keselesaan berbanding karakter pemanduan agresif dengan suspensi hadapan MacPherson Strut bersama Multi-Link di belakang berjaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan baik. Badan kenderaan juga tidak terlalu banyak bergoyang ketika melalui selekoh.

Stereng elektrik memberikan tindak balas yang ringan ketika memandu dalam bandar dan bertambah berat apabila kelajuan meningkat. Tahap NVH juga antara aspek yang paling menyerlah. Bunyi angin serta bunyi tayar berjaya dikawal dengan baik sekali gus menjadikan perjalanan jauh lebih santai.

Kerusi hadapan pula memberikan sokongan yang baik kepada badan, manakala kedudukan pemanduan yang tinggi menawarkan pandangan luas ke hadapan.

Seperti varian lain dalam barisan Proton X90 2026, varian Prime tidak dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), Proton bagaimanapun masih mengekalkan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif seperti enam beg udara, Program Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Bantuan Mula Mendaki Bukit (HHC), Sistem Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Brek Parkir Elektronik (EPB), Auto Brake Hold (ABH), Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS) serta kamera HD 360 darjah.

Proton X90 Baharu membuktikan bahawa Proton bukan sekadar melakukan kemas kini biasa, sebaliknya memperbaiki aspek yang paling penting iaitu pengalaman pemanduan.

Enjin empat silinder baharu menjadikan SUV ini lebih lancar dan responsif serta sesuai dengan karakter sebuah kenderaan keluarga dan untuk satu tangki penuh bahan api dicatatkan sekitar lebih 550 km bergantung kepada corak pemanduan dan bebanan.

Ditambah pula dengan ruang kabin yang luas, konfigurasi tujuh tempat duduk yang praktikal serta tahap keselesaan yang tinggi, X90 Prime muncul sebagai antara pilihan terbaik dalam segmen SUV tujuh tempat duduk pada julat harganya sekitar RM116,800 (atas jalan tanpa insurans).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top