mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekalahan pertama Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN 2026 tidak mengubah keyakinan ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe yang percaya anak buahnya masih berada di landasan terbaik untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Tewas 0-2 kepada Thailand di Stadium Rajamangala, malam tadi, menyaksikan rekod kemenangan Malaysia dalam dua aksi terdahulu terhenti, namun Cheng Hoe enggan membiarkan keputusan itu menjejaskan moral pasukan.
Sebaliknya, beliau melihat masih banyak petanda positif yang boleh dijadikan bekalan menjelang aksi penentuan menentang Filipina.
Menurut Cheng Hoe, kekalahan kepada Thailand bukan penentu segala-galanya kerana bola sepak sentiasa menjanjikan pelbagai kemungkinan, malah beliau tetap percaya barisan pemain muda negara mampu bangkit sekiranya terus diberikan keyakinan.
“Dalam bola sepak, setiap perlawanan boleh memberikan kejutan. Sebagai jurulatih, saya masih percaya kepada pasukan ini dan kekal positif.
“Saya juga percaya kepada pemain-pemain muda. Jika mereka diberikan peluang serta keyakinan, saya yakin mereka mampu mempamerkan prestasi yang lebih baik,” katanya.
Walaupun gagal membawa pulang mata dari Bangkok, Cheng Hoe berpuas hati dengan komitmen dipamerkan pemain yang berjaya mencipta beberapa peluang berkualiti, namun ketumpulan penyudah menyebabkan Harimau Malaya pulang hampa.
“Kami tidak memenangi perlawanan ini, saya tetap positif dengan cara kami bermain. Kami mencipta beberapa peluang yang sepatutnya boleh menghasilkan gol.
“Terima kasih juga kepada semua penyokong yang hadir. Suasana di stadium cukup hebat kerana bola sepak tidak akan lengkap tanpa sokongan peminat,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata, jumlah yang sama dikumpul pendahulu Thailand yang memiliki kelebihan berdasarkan kedudukan kumpulan.
Bagaimanapun, peluang Harimau Malaya untuk melangkah ke separuh akhir masih terbuka apabila bakal berdepan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




