Tujuh ditahan termasuk remaja perempuan terbabit kes samun

Tujuh ditahan termasuk remaja perempuan terbabit kes samun

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan tujuh individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah kediaman di 3 Tower, Jalan Ampang, di sini, Jumaat lalu sehingga menyebabkan kerugian RM6,700.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.02 malam daripada seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa disamun empat lelaki tidak dikenali menggunakan pisau ketika berada di kediaman berkenaan.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju melancarkan operasi dan berjaya menahan lima lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 38 tahun serta dua wanita warga tempatan masing-masing berusia 13 dan 19 tahun.

“Tangkapan dilakukan pada jam 3 pagi semalam di kawasan parkir kereta di Jalan Metro Pudu.

“Dalam operasi itu, polis merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 17 Pro yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua suspek yang direman ditempatkan di Lokap Berpusat Jinjang bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top