am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pembabitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam kes rogol bawah umur membabitkan suka sama suka dilihat berkesan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, berlaku penurunan kes jenayah seksual itu selepas penguatkuasaan membabitkan pihak berautoriti itu yang turut mengambil tindakan terhadap pihak perempuan.
Beliau berkata, walaupun kes yang berlaku adalah suka sama suka, tapi hukuman yang dikenakan hanya kepada pesalah lelaki.
“Alhamdulillah, setakat ini menurun kes itu selepas MAIK dan JAHEAIK ambil tindakan. Tak semestinya hukum, tapi siasat, jadi berlaku kegerunan di pihak perempuan.
“Sebab selama ini kadang-kadang perempuan itu boleh buat duit kerana ia berlaku suka sama suka dan si lelaki kita hukum, tapi perempuan tak diambil tindakan, jadi dia buat (hubungan) dengan orang lain pula.
“Kadang-kadang (selepas) runding, dapat RM20,000, selesai. Jadi sebab itu kita pergi kepada JAHEAIK untuk selesaikan isu rogol suka sama suka ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Tunjong, di sini sempena Mesyuarat Permuafakatan PDRM dan JPN, hari ini.
Dalam mesyuarat yang turut dihadiri Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad itu, Mohd Yusoff turut menekankan mengenai penguatkuasaan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Beliau berkata, seksyen itu akan dipergiatkan bukan sahaja untuk menyelesaikan permasalahan semata-mata, tapi membuat siasatan di peringkat akar umbi.
“Selama ini kita tengok kanak-kanak yang berdepan pelbagai masalah diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bagaimanapun, di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 ada enam kesalahan iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang, mendedahkan, bertindak cuai atau menganiaya dari segi seks.
“Menerusi undang-undang ini kita akan melihat permasalahan di peringkat akar umbi iaitu siasatan terhadap penjaga atau ibu bapa. Malah, boleh diambil tindakan jika wujud elemen pengabaian terhadap sesuatu kes,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




