KUALA LUMPUR: Syarikat fesyen terkemuka Singapura, iORA memperkukuh kedudukannya dalam pasaran peruncitan tempatan menerusi peluncuran kedai konsep utamanya yang telah ditransformasi sepenuhnya di Mid Valley Megamall.
Langkah itu bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif, fleksibel dan berorientasikan gaya hidup pengguna moden masa kini.
Syarikat berkata, premis seluas 9,408 kaki persegi berkenaan merupakan cawangan pertama di Malaysia yang menampilkan konsep reka bentuk peruncitan terbaharu iORA, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam evolusi jenama tersebut.
Katanya, lokasi strategik di pusat beli-belah terkemuka ibu negara itu menjadi kelebihan utama untuk menarik kehadiran pelanggan tempatan mahupun antarabangsa.
“Reka bentuk baharu ini diinspirasikan daripada ruang galeri seni kontemporari yang mengutamakan keselesaan, kelonggaran ruang serta kejelasan aliran pergerakan pelanggan.
“Transformasi ini mencerminkan komitmen iORA untuk menyediakan persekitaran membeli-belah yang lebih bermakna dan membolehkan pelanggan menerokai pelbagai koleksi pakaian mengikut kesesuaian gaya harian mereka secara intuitif.
“Seiring perkembangan industri fesyen yang semakin dinamik, iORA berbangga dapat terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara jenama pilihan utama wanita moden di rantau ini,” katanya semasa pembukaan semula kedai konsep itu, baru-baru ini.
iORA turut memperkenalkan susun atur ruang fizikal yang dibahagikan secara khusus kepada empat zon gaya hidup utama selepas menjalani kerja-kerja transformasi menyeluruh.
Pembaharuan tersebut merangkumi Zon Ketibaan Baharu di bahagian tengah premis, Zon Santai yang mengetengahkan koleksi denim terbaharu, Zon Formal yang menawarkan tatanan pakaian bertaraf premium serta Zon Aksesori yang diperluaskan.
Premis utama syarikat berkenaan turut dilengkapi dengan seni bina bergaris kemas, laluan memilih barang yang lebih luas, zon paparan fleksibel mengikut musim, serta struktur seni bina kelabu gelap yang menjadi mercu tanda visual bagi mengarahkan aliran pengunjung.
Bagi menyokong elemen inklusiviti, kemudahan yang disediakan turut merangkumi 11 bilik persalinan, termasuk ruang khas yang dirancang khusus untuk orang kurang upaya (OKU) serta pelanggan yang membawa kereta sorong bayi.
Mengulas lanjut, iORA berkata, peluncuran cawangan utama di Mid Valley Megamall ini bukan sekadar destinasi jualan terbaharu, malah bakal menjadi penanda aras penting dalam memandu corak reka bentuk cawangan syarikat itu pada masa hadapan.
“iORA akan terus menambah baik tawaran koleksi dan memperibadikan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.
“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan pengalaman peruncitan yang bermakna dan memuaskan, sekali gus mengukuhkan lagi daya tarikan iORA sebagai jenama fesyen pilihan utama,” katanya. – UTUSAN




