ADUN muflis: DUN Selangor semak status semua ADUN

ADUN muflis: DUN Selangor semak status semua ADUN

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membuat semakan terhadap semua ahlinya selepas wujud dakwaan salah seorang daripadanya hilang kelayakan akibat muflis.

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, sehingga kini beliau belum dapat mengesahkan identiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dimaksudkan sehingga kesemua semakan dan siasatan selesai dilakukan.

Katanya, semakan tersebut dibuat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) sebelum kepastian diperolehi dan keputusan dibuat.

“Kena semak sebab ada macam-macam kemungkinan. Kena semaklah, saya akan beritahu selepas mendapat maklumat (lengkap) nanti. (Semakan) Sebab ia ambil masa, semua semakan (pelbagai aspek turut dibuat),” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan DUN Selangor dijangka memaklumkan kedudukan seorang ADUN dipercayai hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dalam sidang yang bermula hari ini.

ADUN tersebut didakwa hilang kelayakan selepas dikatakan berdepan tindakan muflis.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut akan ditentukan sendiri oleh Speaker DUN Selangor, Lau Weng San sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu dalam Sidang DUN Selangor yang bermula hari ini, terdapat beberapa orang ADUN dilihat tiada di tempat duduknya.

Bagaimanapun, Weng San menegaskan ketidakhadiran ADUN berkenaan pada sidang tersebut tidak semestinya beliau adalah individu yang dimaksudkan.

“(Betul ke tidak) Kita kena tanya dialah, saya tak boleh kendak kata (sahkan) apa-apa. Tak hadir tak semestinya dia ada masalah (seperti didakwa).

“Itu terpulang kepada dia, kita tidak boleh paksa ADUN untuk hadir. Tetapi kalau ikut UUTKS, kalau seseorang ADUN itu tidak hadir sidang mesyuarat dalam masa enam bulan tanpa sebarang maklumat rasmi, maka kerusi itu perlu dikosongkan,” tambahnya.

Katanya lagi, isu berkaitan hilang kelayakan pernah berlaku pada penggal-penggal terdahulu seperti ADUN Kuang dan Pelabuhan Klang.

“Tetapi (dalam sidang-sidang sebelum ini) ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dan  ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid pun pernah memberikan surat (alasan) tidak hadir seperti cuti sakit.

“Jadi tak semestinya kalau seseorang ADUN itu tidak hadir, maksudnya dia ada masalah (berdepan isu hilang kelayakan). Jangan, jangan ada prasangka. Tetapi, kita tetap semak, ambil masa sikit. Kita tak boleh buat apa-apa andaian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Weng San turut menjelaskan, keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) atau tidak adalah bergantung kepada SPR. – UTUSAN

Scroll to Top