Sampai bila hanya jadi penonton kejayaan pelumba luar?

Sampai bila hanya jadi penonton kejayaan pelumba luar?

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Laluan lebih mencabar dengan kemunculan Gunung Jerai sebagai zon pendakian baharu sepatutnya menjadi kelebihan buat pelumba tempatan untuk membuat persiapan rapi menjelang edisi ke-30 Le Tour de Langkawi (LTdL) bukannya sekadar menjadi penonton kepada kejayaan pelumba luar.

Persoalan sama ada pelumba negara mampu memanfaatkan tempoh kira-kira lapan minggu yang berbaki untuk menguji ketahanan dan menyesuaikan diri dengan laluan perlumbaan kembali menjadi perhatian apabila LTdL 2026 bakal berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Selain pendakian baharu di Gunung Jerai pada peringkat kedua, pelumba turut berdepan cabaran tradisi di Cameron Highlands pada peringkat keempat dan Genting Highlands pada peringkat kelima yang dijangka menjadi penentu perebutan gelaran keseluruhan.

Pelumba dan pasukan tempatan lazimnya menjadi kelompok pertama mengetahui laluan perlumbaan setiap tahun, namun kelebihan itu jarang diterjemahkan kepada persiapan khusus terutama bagi menghadapi laluan berbukit yang sering memisahkan kelompok terbaik dengan pelumba lain.

Rekod sebelum ini menunjukkan kejayaan terbesar pelumba negara di LTdL lebih banyak hadir di laluan landai menerusi empat kemenangan peringkat Anuar Manan pada 2010 serta tiga kemenangan Harrif Salleh pada edisi 2019 dan 2020, yang semuanya diperoleh menerusi pecutan beramai-ramai.

Sebaliknya, pelumba tempatan sering bergelut apabila berdepan pendakian panjang dan curam di Cameron Highlands serta Genting Highlands, sekali gus menyukarkan mereka untuk bersaing dalam kedudukan keseluruhan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2026, Emir Abdul Jalal berkata, kelebihan mengetahui laluan lebih awal perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menjalani latihan khusus di lokasi terbabit bagi meningkatkan peluang mencipta keputusan lebih baik.

Menurutnya, pelumba tempatan boleh menjadikan bekas pelumba Hong Kong, Wong Kam Po sebagai contoh terbaik apabila muncul pelumba Asia pertama memenangi satu peringkat LTdL menerusi kemenangan di Cameron Highlands pada edisi 2000.

“Apabila diberitahu dia terpilih untuk mewakili Telekom Malaysia All Stars, Kam Po datang hampir sebulan lebih awal dan ‘bertapa’ di Cameron Highlands untuk berlatih serta mempelajari setiap selok-belok pendakian di sana.

“Tidak hairan dia berjaya menyusun strategi dengan baik, tahu bila perlu berada dalam kelompok hadapan dan bila masa sesuai melakukan serangan solo sehingga muncul pemenang peringkat,” katanya.

Emir berkata, walaupun Aiman Zariff pernah memenangi jersi Raja Bukit pada 2020 dan 2022, kejayaan itu diraih menerusi strategi mengumpul mata di zon pendakian lebih mudah, bukannya di Cameron Highlands atau Genting Highlands.

Beliau berkata, strategi sama pernah digunakan pakar pecut Itali, Alessandro Petacchi yang muncul juara Raja Bukit pada LTdL 1999, namun pendekatan itu dijangka sukar diulangi tahun ini.

“Dengan Cameron Highlands dan Genting Highlands menawarkan mata maksimum 25 sebagai pendakian kategori Hors, peluang menggunakan strategi mengumpul mata di pendakian mudah menjadi semakin sukar.

“Justeru, pelumba tempatan mempunyai kelebihan kerana mereka boleh menguji laluan lebih awal sebelum menentukan strategi terbaik untuk digunakan ketika perlumbaan nanti,” katanya.

Pada edisi ke-29 tahun lalu, Tsen Ren Bao muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan saingan di tangga ke-34 keseluruhan bersama St George Cycling Team dari Australia, manakala Kee Zhe Yie menjadi pelumba terbaik pasukan tempatan di kedudukan ke-43.

Satu-satunya podium berjaya dihadiahkan Aiman Rosli apabila menduduki tempat kedua pada peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini selepas berkayuh secara solo hampir 40 kilometer (km) sebelum dipintas Zeb Kyffin pada baki kira-kira 300 meter menuju garisan penamat.

Sama ada penantian panjang untuk menyaksikan pelumba tempatan kembali memenangi satu peringkat dapat ditamatkan pada LTdL 2026 atau terus berlanjutan, jawapannya hanya akan diketahui apabila perlumbaan membuka tirai pada 27 September depan.

LTdL 2026 yang berstatus 2.Pro Series dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) membabitkan jarak keseluruhan 1,258.5km dan dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top