1MDB rugi hampir RM23 bilion! Peguam tegaskan Najib perlu bertanggungjawab

1MDB rugi hampir RM23 bilion! Peguam tegaskan Najib perlu bertanggungjawab

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu dipertanggungjawabkan terhadap kerugian berjumlah AS$5.6 bilion yang dialami 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Perkara dibangkitkan peguam

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, perkara itu dibangkitkan peguam Datuk Lim Chee Wee pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkan oleh 1MDB bersama empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Melibatkan pembelian barangan mewah & ppenerbitan

Menurut Chee Wee, Najib yang juga merupakan pemegang saham tunggal 1MDB didakwa mempengaruhi lembaga pengarah untuk melaksanakan beberapa transaksi luar biasa secara tergesa-gesa.

Beliau turut mendakwa tindakan tersebut bertujuan menguntungkan Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz serta ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebagai contoh, beliau mendakwa sebanyak AS$681 juta dimasukkan ke akaun Najib pada tahun 2013, selain melibatkan pembelian barangan mewah dan pelaburan dalam penerbitan filem The Wolf of Wall Street.

Tambah Chee Wee lagi, pihak plaintif akan mengemukakan bukti dokumentari berhubung perancangan, organisasi dan pelaksanaan penipuan yang didakwa berlaku dalam 1MDB serta usaha menutup penipuan tersebut.

Ujarnya, jawatan Najib sebagai Menteri Kewangan ketika itu turut memberikannya kawalan terhadap Menteri Kewangan Diperbadankan (MOC Inc.), selain pengarah dan pihak pengurusan 1MDB antara tahun 2009 hingga 2016.

“Sepanjang tempoh ini, Jho Low selaku `pengarah bayangan’ memberikan arahan dan petunjuk bagi pihak Najib, walhal dia tidak memegang jawatan rasmi dalam pengurusan 1MDB.
“Akibat daripada penyelewengan ini, pihak plaintif mengalami kerugian berjumlah AS$5,644,525,051,” katanya ketika membacakan kenyataan pembukaan perbicaraan kes saman 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib.

Perbicaraan hari pertama kes itu berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Sumber: Malaysia Gazette (Norlizah Abas)

Scroll to Top