syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Kilafairy tampil membuat permohonan maaf terbuka berhubung penggunaan bahasa kasar yang dimuat naik di platform Threads baru-baru ini selepas isu mengenai anjing bernama Rocky menjadi bualan.
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 34, mengakui kekhilafan serta pemilihan kata-kata yang digunakan sebelum ini disifatkan agak kasar sehingga menyinggung perasaan ramai pihak.
“Pertama sekali, Kila ingin memohon maaf atas pemilihan kata-kata yang Kila gunakan di Threads beberapa hari lepas. Bila Kila fikirkan semula, ya, kata-kata itu memang sangat kasar.
“Maaf semua. Kila juga hanya seorang manusia, tidak sempurna, dan masih belajar untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari,” tulisnya di Threads.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi veteran Allahyarham Rohana Jalil ini turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang memberikan teguran secara berhemah.
“Terima kasih juga kepada semua yang menegur dan menasihati Kila secara peribadi dan tertutup. Kila amat menghargainya,” tulisnya.
Mengulas mengenai isu hantaran berkenaan, Kilafairy menjelaskan dia sudah meneliti penjelasan daripada kedua-dua belah pihak.
Justeru, dia berharap sebarang pertikaian atau kontroversi dapat diselesaikan secara adil tanpa mencetuskan sebarang perbalahan.
“Pada akhirnya, apa yang Kila harapkan ialah apabila berlakunya kes seperti ini, semua pihak dapat mengendalikan situasi dengan adil dan aman.
“Semoga kita semua berusaha untuk membina dunia yang lebih baik, yang lebih berbelas ihsan dan adil kepada semua ciptaan Allah di muka bumi ini, sama ada manusia mahupun haiwan. Semoga kasih sayang sentiasa mengatasi kebencian.
“Sekali lagi, Kila ingin memohon maaf atas pemilihan kata-kata yang kurang sesuai sehingga menyinggung ramai pihak. Kila sayang anda semua dan terima kasih kerana sentiasa menasihati Kila,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




