Harap kerajaan bela nasib pelakon alih suara

Harap kerajaan bela nasib pelakon alih suara

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Alih Suara Malaysia mengharapkan sokongan kerajaan dalam memberi peluang dan membuka jalan bagi menghidupkan lagi industri itu.

Pengerusinya, Fadhli Mohd Rawi berkata, ia kerana ramai pemain lama dan baharu yang masih mahu terus aktif berikutan minat selain menjadikannya sebagai sumber pendapatan tetap.

Bagaimanapun, Fadhli berkata, ada segelintir pemain yang sudah beralih arah dengan melakukan pekerjaan lain dan tidak menjadikan kerjaya pelakon alih suara sebagai sumber pendapatan utama kerana kurangnya tawaran serta peluang kerja terhad.

Buktinya, Fadhli juga tidak lagi bergantung dengan pendapatan sebagai pelakon alih suara walaupun masih menerima tawaran kerana turut menjadi pemandu e-hailing bagi mencari wang tambahan bagi menyara keluarga.

“Saya sendiri sudah 15 tahun berkecimpung dalam industri alih suara dan nampak bidang ini tidak boleh bergerak dengan sendiri.

“Sebaliknya industri memerlukan sokongan kuat kerajaan yang boleh memainkan peranan, mungkin dengan mewajibkan atau meletakkan peratusan tertentu, misalnya bagi siri kartun luar di negara ini untuk dialih suara dalam bahasa Melayu.

“Secara tak langsung, usaha kerajaan itu akan memartabatkan bahasa Melayu menerusi industri alih suara. Kita ambil contoh negara jiran, Indonesia yang menggunakan bahasanya dalam siri kartun termasuk dari Malaysia.

“Ia penting kerana realitinya bukan hanya bakat iaitu pelakon alih suara malah ada beberapa orang di belakang tabir dalam industri yang cari rezeki dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang empat tahun bergelar pengerusi, pihaknya sudah mengambil langkah bagi membantu membawa suara hampir 100 ahli yang bernaung di bawah persatuan.

“Antaranya mengadakan kunjungan hormat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selain bertemu dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Dalam pertemuan itu, saya bersama beberapa pemain industri dapat memberi penerangan dan mengutarakan isu berbangkit selain cabaran dihadapi.

“Cuma belum ada maklum balas selanjutnya yang kita dapat, jadi masih mengharapkan sokongan kerajaan dalam membantu dan mendengar suara kami.

“Ini kerana saya juga pemain, masih ada kesungguhan merancakkan industri ini, malah ramai bakat baharu di luar sana, cuma tidak boleh pergi lebih jauh tanpa sokongan kerajaan.

“Tambahan pula cabaran akan datang lebih besar terutama dengan pengaruh teknologi kecerdasan buatan (Al),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top