Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu pertama susulan siasatan khas yang ditubuhkan bagi menyemak serta meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Memetik laporan daripada Berita Harian, antara yang ditahan ialah seorang pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an yang diberkas pada jam 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Pengarah syarikat reka bentuk disyaki beri rasuah RM300, 000
Difahamkan, suspek disyaki merasuah kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan untuk mendapatkan projek bernilai keseluruhan sekitar RM8 juta.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2014 hingga 2018 dengan rasuah didakwa diberikan dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO terbabit yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000.

Bekas pengurus ladang disyaki seleweng kontrak bernilai RM8 juta
Dalam perkembangan sama, seorang lagi suspek yang juga bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah turut ditahan kerana disyaki menyeleweng kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun antara tahun 2015 hingga 2017.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.
“Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan reman selama dua hari terhadap pengarah syarikat reka bentuk berkenaan, manakala bekas pengurus ladang itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian (Ilah Hafiz Aziz)




