DAP Selangor serah kepada perwakilan tentukan hala tuju bersama Kerajaan Perpaduan

DAP Selangor serah kepada perwakilan tentukan hala tuju bersama Kerajaan Perpaduan

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perwakilan DAP dari cawangan-cawangan yang akan menghadiri Persidangan Kebangsaan Khas parti itu pada 16 Ogos ini akan memutuskan sendiri sama ada DAP perlu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han berkata, DAP negeri tidak mengeluarkan sebarang pendirian berkenaan usul berkenaan.

“Perwakilan daripada setiap cawangan di Selangor yang akan memilih dan membuat keputusan (mengenai usul berkenaan),” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau ditanya sama ada DAP Selangor mempunyai pendirian sendiri berkenaan usul dibawa pimpinan pusat itu, bagi mewakili suara dan pandangan ahli serta penyokong parti itu di negeri berkenaan.

Aku janji untuk kekal berada dalam kerajaan Persekutuan sehingga habis penggal Parlimen antara komitmen dimeterai semua parti politik dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan DAP akan mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas pada 16 Ogos ini bagi membolehkan perwakilan menentukan pendirian parti sama ada kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

Beliau berkata, satu usul akan dibentangkan pada persidangan berkenaan untuk diputuskan oleh lebih 4,000 perwakilan yang hadir.

Menteri Pengangkutan itu juga menjelaskan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tidak menentukan sebarang pendirian, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada perwakilan parti.

Sementara itu, usaha BH mendapatkan beberapa lagi pendirian serta reaksi daripada Pengerusi DAP beberapa negeri lain masih belum dijawab.

Ramai pihak termasuk penganalisis politik sebelum ini berpandangan kongres khas itu akan dijadikan landasan strategi politik oleh DAP untuk menegaskan komitmen parti itu terhadap agenda reformasi dan bukannya sebagai amaran atau ugutan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ini termasuk komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membentang sekali gus meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal atau 10 tahun selain isu berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Namun, prestasi semasa khususnya keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tewas di banyak kerusi mungkin menjadi antara faktor pendorong yang bakal mempengaruhi pendirian setiap perwakilan DAP nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top