Tiga dekad Yoong Chia zahir memori atas kanvas

Tiga dekad Yoong Chia zahir memori atas kanvas

Bagi sesetengah individu mereka melihat lukisan sebagai kanvas yang terdiri daripada gabungan warna, bentuk dan sapuan berus namun bagi seorang seniman setiap karya yang terhasil sering membawa cerita yang tersendiri.

Menurut pelukis seni visual, Chang Yoong Chia, dia menjadikan memori dan pengalaman peribadi sebagai inspirasi kepada penghasilan karya-karyanya sepanjang hampir tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni.

Katanya, memori kehidupannya bukan hanya untuk dikenang sebaliknya ia menjadi sumber ilham yang terus hidup dan diterjemahkan ke dalam bahasa visual.

“Hampir setiap karya yang dihasilkannya inspirasi daripada pengalaman hidup dan memori yang dikumpulkan sejak zaman kanak-kanak sekaligus menjadi asas kepada falsafah seni saya hingga ke hari ini,” katanya.

Ujarnya, perjalanan seninya bermula apabila dia mula aktif menyertai pameran sekitar tahun 1996. Sejak itu, dia terus mengembangkan karya seninya sehingga kini sekaligus menyaksikan pelbagai pengalaman, cabaran dan pencapaian yang membentuk identitinya sebagai seorang seniman.

Yoong Chia juga dikenali menerusi karya-karya yang mengangkat naratif serta isu-isu sosio-politik. Malah, turut menerima pengiktirafan pada tahun 2019 menerusi pameran retrospektif Second Life di Balai Seni Negara serta karyanya juga turut menghiasi koleksi muzium Seni Gwangju di Korea Selatan dan Singapura.

Antara unsur kraf yang menjadi pendekatan dalam karya-karyanya ialah batik dan sulaman di samping bereksperimen dengan medium yang tidak konvensional termasuk daun dan kulit ketam.

Tiga dekad Yoong Chia zahir memori atas kanvas
PERJALANAN seni Yoong Chia bermula apabila dia aktif menyertai pameran sekitar 1996.

Berkarya Untuk Diri Sendiri

Yoong Chia tidak menafikan pernah melalui fasa yang menguji ketahanan mental dan emosi sebagai seorang seniman. Ada ketika dia berasa letih, hilang semangat malah berdepan rasa kecewa apabila mengalami creative block.

Menurutnya, keadaan itu merupakan lumrah bagi mana-mana pengkarya. Namun, setiap kali dia berdepan dengan situasi tersebut, dia akan mengingatkan dirinya tentang sebab utamanya memilih menjadi seniman.

“Pengiktirafan yang diterima sepanjang kerjaya ini menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya. Peluang mengadakan pameran di institusi seni termasuk penghargaan yang diterima daripada pelbagai pihak menjadi bukti yang hasil kerja saya dihargai dan mempunyai nilai di mata masyarakat,” ujarnya.

Karya Weight Of Feather

Walaupun melukis menjadi asas kepada perjalanan seninya, Yoong Chia tidak pernah mengehadkan dirinya kepada kanvas semata-mata. Baginya, seni ialah ruang untuk bereksperimen justeru dia sentiasa terbuka untuk meneroka pelbagai medium dan bahan bagi menghasilkan karya seninya.

Menerusi satu daripada karya terbaharunya Weight Of Feather, dia menggunakan imej seekor helang dan kelawar bagi menggambarkan dua sisi berbeza yang wujud

“Helang sering dikaitkan dengan sifat berani, gagah dan dipandang sebagai simbol yang positif manakala kelawar pula lazimnya membawa konotasi yang lebih negatif. Namun, kedua-duanya bukanlah bertentangan sebaliknya saling melengkapi.

“Ia juga mencerminkan diri saya kerana kadangkala saya positif kadangkala saya negatif. Sebab itu, saya gunakan kedua simbol ini yang menjadi simbolik kepada perjalanan saya sebagai seniman,” katanya yang juga merupakan pemenang utama kategori artis terkenal menerusi pertandingan seni MR DIY 2026.

Kini, dia giat membuat persiapan bagi menyertai sebuah pameran di Taiwan yang dijadualkan akan berlangsung selama empat bulan bermula pada bulan Julai sehingga November tahun ini.

YOONG Chia juga dikenali menerusi karya-karya yang mengangkat naratif serta isu-isu sosio-politik.

Seni Memerlukan Kesabaran

Berkongsi pesanan kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang seni, Yoong Chia mengingatkan mereka tidak terlalu mengejar pengiktirafan atau menghasilkan karya semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain.

Dia percaya karya yang lahir daripada kejujuran dan keyakinan terhadap diri sendiri mempunyai nilai yang lebih tinggi dan lebih sentimental.

Scroll to Top