am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Pergi kerja, sarapan dan makan tengah hari bersama, selepas pulang kami ke pasar raya. Arwah sempat hidangkan makan malam serta meluangkan masa menonton televisyen bersama keluarga, itu momen terakhir yang tidak akan saya lupakan hingga ke akhir hayat,” kata Raja Muhammad Raja Ali, 45, dari Kampung Padang Machang, Manir.
Menurutnya, isterinya, Romaizam Marzuan, 44, meninggal dunia semalam selepas tiga hari tidak sedarkan diri akibat komplikasi penyakit asma dihidapinya.
Raja Muhammad berkata, arwah pernah beberapa kali memaklumkan sudah mengisytiharkan untuk menderma organ.
Katanya, arwah sudah mendaftar sebagai penderma organ bersama tiga adiknya dan selepas berbincang bersama ahli keluarga, dia mengambil keputusan menunaikan hajat isterinya.
“Selepas pihak hospital mengesahkan nama arwah terdapat dalam rekod penderma organ, saya meneruskan hasrat itu bagi memberi peluang kepada pesakit lain yang lebih memerlukan.
“Saya fikir hasrat menderma organ ini untuk kebaikan arwah, justeru saya bersetuju dermakan organ arwah,” katanya.
Menurutnya, semoga organ itu dapat memberi manfaat dan peluang kepada orang yang lebih memerlukan meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.
Menceritakan lebih lanjut, Raja Muhammad berkata, arwah isterinya yang berkhidmat sebagai Penolong Akauntan di Pejabat Bendahari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mula mengadu sukar bernafas pada malam Ahad sebelum dibawa ke klinik berhampiran kediamannya.
“Sebaik tiba di klinik, arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pihak klinik meminta saya membawanya terus ke hospital.
“Arwah mula tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.30 malam Ahad dan selepas tiga hari menerima rawatan, arwah disahkan meninggal dunia pada jam 7.56 malam semalam,” katanya.
Menurutnya, pihak hospital memaklumkan organ yang akan didermakan ialah buah pinggang, hati, tulang dan injap jantung.
Katanya, dia difahamkan, buah pinggang dan hati arwah sudah mempunyai penerima dan organ itu akan dihantar ke Kuala Lumpur pagi hari ini.
Dia berkata, proses pembedahan bermula kira-kira jam 3 pagi tadi dan difahamkan mungkin selesai sepenuhnya pada jam 6 petang atau 7 malam nanti.
Raja Muhammad yang juga pembantu tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, pemergian arwah amat dirasai empat anak mereka yang berusia antara sembilan hingga 19 tahun.
“Arwah seorang yang ceria dan sering menggembirakan kami keluarga dengan pelbagai celotehnya serta seorang ibu yang sangat baik.
“Arwah memang seorang yang ceria, selalu buat orang di sekelilingnya gembira dan ketawa sebab itu bila dia tiada kami sekeluarga memang terasa sangat kehilangannya.
“Saya dan arwah sering keluar bersama, pergi makan, berjalan dan mencari tempat-tempat yang tular untuk kami kunjungi dan memori itu akan terpahat dalam kenangan saya dan anak-anak buat selamanya,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah yang berlaku dalam sekelip mata kerana pada pagi Ahad, mereka pergi kerja, sarapan dan makan tengah hari bersama-sama memandang tempat kerja berdekatan.
Dia berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Tengir, Manir selepas selesai semua urusan berkaitan pendermaan organ dilaksanakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




