RCI Tabung Haji: BN tidak kompromi jika terbukti berlaku penyelewengan – Ahmad Zahid

RCI Tabung Haji: BN tidak kompromi jika terbukti berlaku penyelewengan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan penyelewengan, pecah amanah atau gagal mematuhi prinsip tadbir urus sekiranya dakwaan yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji terbukti benar.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana pihak yang didapati bersalah perlu berdepan dengan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau jawatan mereka.

ARTIKLE BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Lima kertas siasatan dibuka babit kes jenayah komersial

RCI Tabung Haji: Tiga individu direman lima hari

RCI Tabung Haji: SPRM rakam keterangan bekas CFO lebih enam jam

Menurut beliau, pendirian itu selaras dengan ketegasan BN dan UMNO yang tidak akan mempertahankan mana-mana individu sekiranya terbukti melakukan salah laku.

“Pendirian BN dan UMNO, jika benar ada individu ataupun sekumpulan pihak yang melakukan penyelewengan atau pecah amanah atau melakukan kerja-kerja tadbir urus yang tidak selari dengan tata kelola sesebuah organisasi kerajaan apatah lagi badan berkanun, maka konsekuensinya akan dihadapi oleh mereka.

“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun mengingatkan bahawa laporan RCI masih berbentuk syor dan cadangan, justeru sebarang tindakan susulan perlu dibuat mengikut proses yang ditetapkan.

Katanya, laporan berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa depan sebelum dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

“Jika berlaku sebaliknya, tentunya laporan oleh Suruhanjaya Diraja itu hanya melakukan syor. Apakah tindakan selanjutnya akan dilakukan, kita akan perbahaskan dan perbincangkan di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perbahasan itu penting bagi membolehkan semua Ahli Parlimen meneliti dapatan serta syor yang dikemukakan sebelum kerajaan membuat keputusan mengenai tindakan lanjut.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan integriti institusi awam, khususnya badan berkanun yang menguruskan amanah rakyat.

Laporan RCI Tabung Haji dijadual akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos dan dijangka menjadi antara tumpuan utama persidangan susulan pelbagai dapatan serta syor yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan berkaitan tadbir urus dan pengurusan institusi tersebut.

Sidang khas yang akan berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat diadakan berikutan minat tinggi Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam perbahasan itu.

Setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk membahaskan laporan berkenaan.

Scroll to Top