Kerajaan Selangor bercadang tingkat penerima HPIPT kepada 5,000 pelajar

Kerajaan Selangor bercadang tingkat penerima HPIPT kepada 5,000 pelajar

Shah Alam: Kerajaan Selangor bercadang meningkatkan jumlah penerima Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) kepada 5,000 pelajar pada tahun depan berbanding 3,000 penerima tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, permintaan terhadap HPIPT pada 2025 dan tahun ini meningkat melebihi 5,000 permohonan, sekali gus mendorong kerajaan negeri untuk melihat semula jumlah penerima sedia ada.

“Kerajaan negeri sedang menilai dengan hasil Selangor yang berpadanan untuk meningkatkan jumlah penerima mungkin mencecah 5,000 hingga 6,000 orang.

“Kita pernah memberikan sumbangan kepada 5,000 orang suatu ketika dulu dan Insya-Allah kita akan kembalikan jumlah itu pada tahun hadapan dalam Belanjawan 2027 nanti,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Noorazley Yahya (PN-Bukit Melawati) sama ada kerajaan negeri bercadang meningkatkan kouta permohonan HPIPT susulan pertambahan permintaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Di samping itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengambil kira tempoh permohonan HPIPT bagi memastikan pelajar mempunyai masa mencukupi untuk mengemukakan permohonan selepas menerima pengesahan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Beliau memaklumkan kerajaan negeri juga mempertimbangkan untuk membuka permohonan HPIPT dua kali setahun bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar yang mendaftar pengajian pada tempoh berbeza.

HPIPT adalah bantuan RM1,000 diberikan kepada pelajar Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.

Bantuan berkenaan juga layak untuk pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top