am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Struktur gaji negara perlu diteliti semula bagi memastikan pekerja yang memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum turut menikmati pelarasan gaji secara berkala.
Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Profesor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali, berkata ketika ini kerajaan menetapkan gaji minimum pada RM1,700 sebulan.
Bagaimanapun katanya, tiada mekanisme yang jelas untuk memastikan pekerja yang mendapat gaji RM1,800 atau RM1,900 turut menerima kenaikan gaji.
“Keadaan ini menyebabkan ramai majikan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan gaji minimum tanpa menyemak semula struktur gaji pekerja yang berada di atas paras berkenaan.
“Golongan inilah yang akhirnya terhimpit kerana pendapatan mereka hampir tidak berubah walaupun kos sara hidup terus meningkat,” katanya pada Persidangan Wisdom Malaysia Kali Ke-2 (2026) di sini, hari ini.
Pada persidangan itu, Anuwar turut menekankan bahawa trend penurunan gaji permulaan graduan kini semakin ketara berbanding kira-kira dua dekad lalu.
“Sekitar 20 tahun lalu, graduan baharu dengan ijazah pertama boleh memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM3,500 sebulan.
“Hari ini, akibat pertambahan jumlah graduan dan tekanan dalam pasaran pekerjaan, gaji permulaan semakin menghampiri kadar gaji minimum. Malah ada graduan hanya menerima antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan,” katanya.
Beliau menyifatkan trend itu sebagai antara cabaran besar yang perlu ditangani kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan pasaran buruh kekal mampan.
Katanya, kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti bagi menyerap pertambahan jumlah graduan setiap tahun.
“Penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah langkah yang baik, namun usaha itu perlu disokong dengan pengembangan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang setanding dengan kemahiran yang dimiliki graduan.
“Apabila graduan TVET memasuki pasaran pekerjaan, mereka tetap akan berdepan masalah yang sama sekiranya peluang pekerjaan berkualiti tidak berkembang seiring dengan peningkatan kemahiran,” katanya.
Tambah Anuwar, kerajaan dan pemain industri perlu bekerjasama dengan memberi penekanan yang lebih besar kepada pembangunan industri tempatan untuk berkembang, berinovasi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.
Katanya, organisasi seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) perlu lebih aktif merangka strategi pembangunan industri yang selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Lima Tahun serta keperluan pasaran pekerjaan negara.
“Saya melihat terlalu banyak tumpuan diberikan kepada usaha menarik pelaburan asing. Sudah tentu pelaburan asing penting, tetapi kebanyakannya datang kerana kos buruh rendah dan membabitkan industri yang berintensifkan buruh,” katanya.
Anuwar berkata, industri tempatan perlu berkembang ke tahap yang lebih tinggi melalui penyerapan teknologi, inovasi dan peningkatan produktiviti seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju, contohnya Korea Selatan.
“Sebahagian besar industri kita terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang kebanyakannya hanya menggaji sekitar 50 hingga 100 pekerja.
“Jika kita melihat sejarah, pada sekitar tahun 1960-an, tahap pembangunan Korea Selatan tidak jauh berbeza dengan Malaysia.
“Namun hari ini, mereka jauh lebih maju kerana berjaya membangunkan industri tempatan yang berdaya saing dan berasaskan teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




