SHAH ALAM – Dua Ahli Parlimen Parti Keadaan Rakyat (PKR) mendakwa tindakan menyekat akses sistem MyKhas yang menguruskan peruntukan kawasan menyebabkan hak rakyat di kawasan masing-masing terjejas.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa, baki peruntukan RM3 juta bagi kawasan itu tidak lagi disalurkan melalui ahli Parlimen yang dipilih rakyat selepas aksesnya ke portal MyKhas disekat sejak penghujung Mei lalu.
Beliau mendakwa, perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu, namun sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan mengenai ke mana peruntukan itu disalurkan.
“Saya telah menerima tangkap layar daripada kumpulan WhatsApp Jawatankuasa Cabang PKR Petaling Jaya yang memaklumkan Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian akan menjadi rujukan bagi permohonan kerja kecil dan sumbangan kewangan Parlimen Petaling Jaya.
“Sejak bilakah dana rakyat boleh diserahkan kepada Ketua Cabang PKR? Peruntukan Parlimen adalah wang awam yang diperuntukkan untuk manfaat seluruh rakyat, bukannya untuk diurus oleh mana-mana jawatan parti politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan memindahkan kuasa mengurus dana rakyat kepada pimpinan cabang parti politik itu merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Rakyat berhak bertanya sama ada tindakan ini satu bentuk ‘sakau’ yang kini dianggap boleh diterima.
“Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya,” tegas beliau.
Menurut Chean Chung, kerajaan perlu menjelaskan mekanisme sebenar supaya tidak timbul persepsi wang rakyat telah menjadi ‘dana parti’
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyatakan sama ada mekanisme seperti ini mematuhi prinsip tadbir urus, integriti dan undang-undang atau sama ada ia wajar disiasat bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
“Parti komponen Kerajaan Perpaduan juga perlu menyatakan pendirian adakah mereka bersetuju dana awam boleh diuruskan oleh pemimpin parti politik tanpa sebarang makluman awam?,” soalnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang tidak lagi boleh mengakses sistem MyKhas bermula 29 Julai lalu sekali gus menjejaskan pengurusan peruntukan kawasan.
Beliau berkata, perkara itu memberi kesan kepada rakyat Ampang yang memerlukan bantuan segera termasuk golongan rentan, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, belia, pesakit kronik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta rumah ibadat.
“Sekiranya kejanggalan ini berpunca daripada isu teknikal atau pentadbiran, saya berhak diberi pencerahan yang telus dan terbuka serta penyelesaian segera,” katanya.
Rodziah turut mendakwa situasi itu berlaku walaupun beliau masih anggota PKR yang sah dan tidak pernah keluar parti atau menyokong mana-mana parti lain.
Katanya, keadaan itu dilihat bertentangan dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkaitan penyaluran peruntukan pembangunan kawasan secara adil kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Dalam pada itu, Rodziah berkata, beliau akan melancarkan Projek Amal Rakyat sebagai inisiatif bersama komuniti bagi memastikan khidmat kepada rakyat Ampang dapat diteruskan walaupun berdepan kekangan.
Beliau berkata, segala bentuk sumbangan yang diterima menerusi inisiatif itu akan dibentangkan secara terbuka dengan mengutamakan prinsip tadbir urus baik dan ketelusan.
“Saya tegaskan apa jua rintangan dan cabaran tidak akan sekali-kali dijadikan sebagai alasan untuk mengurangkan atau menurunkan kualiti khidmat bakti saya khususnya buat warga Ampang.
“Dalam masa terdekat, saya akan melancarkan Projek Amal Rakyat sebagai satu inisiatif bersama komuniti secara bermuafakat atau gotong-royong demi memastikan apa jua bentuk perkhidmatan, bantuan dan sokongan untuk rakyat dapat diteruskan walaupun berdepan pelbagai kekangan dan halangan.
“Saya akan terus melaksanakan amanah sebagai Ahli Parlimen Ampang dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan integriti,” tambah beliau.



