WASHINGTON – Punca sebenar Amerika Syarikat (AS) menghentikan kempen serangan ke atas Iran akhirnya terjawab apabila timbul laporan mendedahkan isu kekurangan bekalan senjata yang mencetuskan ketegangan antara Presiden Donald Trump dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.
The Washington Post pada Rabu melaporkan Trump kecewa kerana beliau telah diberikan maklumat mengelirukan berhubung situasi bekalan senjata di tengah-tengah konflik yang masih belum reda di rantau Asia Barat.
Pemimpin Republikan itu dengan lantang meluahkan kemarahannya terhadap Hegseth di luar mesyuarat Kabinet di Kem David pada minggu lalu.
Laporan yang memetik dua sumber yang menyaksikan ‘drama’ itu mendakwa Trump menyangka isu bekalan peluru ‘sudah diselesaikan’ selepas beliau menguar-uarkan kepada umum kononnya stok tersebut mencukupi.
“Kekurangan bekalan terutamanya misil jarak jauh dan peluru pemintas pertahanan udara menjadi antara sebab Trump berundur daripada melancarkan serangan besar-besaran tambahan terhadap Iran. Sebaliknya, beliau hanya meneruskan retorik ugutan berulang ke atas Teheran.
“Dalam bulan pertama pertempuran sahaja, AS telah melancarkan lebih 850 peluru berpandu Tomahawk dan lebih 1,000 misil Patriot dan Sistem Pertahanan Antipeluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD),” jelas laporan itu lagi.
AS juga menggunakan lebih 1,300 peluru berpandu balistik taktikal milik sepanjang fasa awal konflik tersebut.
Selain itu, simpanan peluru berpandu jarak dekat ( ATACMS) yang turut menjadi permintaan utama Ukraine kini dilaporkan hampir kehabisan. – Agensi



