razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan Datuk Seri Adenan Abu yang juga dikenali sebagai Datuk Red bersama syarikatnya ADN Properties Sdn Bhd dan seorang lagi individu, Hasmy Abu Hassan membayar jumlah belian berjumlah RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah.
Ia berhubung kes saman sivil dalam dakwaan kes perdaya dalam urusan penjualan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor tujuh tahun lalu.
Hakim Siti Fatimah Talib memerintahkan kesemua kos itu dibayar secara bersama atau berasingan.
Beliau turut memerintahkan Adenan dan ADN Properties membayar ganti rugi teladan RM170,000 kepada semua plantif terbabit.
Bagaimanapun, semua defendan termasuk Datuk Red tidak hadir pada prosiding hari ini.
Terdahulu, Siti Fatimah dalam penghakimannya berkata, ADN Properties memasuki suatu perjanjian jual beli induk dengan Hasmy bagi memperoleh tanah berharga RM1.8 juta.
Bagaimanapun katanya, hak milik tanah terbabit tidak pernah dipindahkan kepada ADN Property dan harga belian induk tidak dijelaskan sepenuhnya.
Beliau berkata, mahkamah mendapati Adenan adalah pengawal sebenar operasi dalam urus niaga ADN.
Katanya, mahkamah ini mendapati penipuan terhadap plaintif berlaku melalui satu siri representasi dan penyembunyian fakta material.
“ADN Properties melalui ejennya dan Adenan menggambarkan bahawa ADN ialah pemilik atau tuan punya tanah itu mempunyai hak nyata untuk menjual lot tertentu dan mampu membina milik lot tersebut dalam tempoh yang dinyatakan dalam SPA (Perjanjian Jual Beli).
“Fakta material yang tidak didedahkan sepenuhnya ialah ADN bukan pemilik berdaftar, harga belian tanah induk belum selesai, urusan pusaka dan kelulusan tanah belum sempurna, dan ADN belum berada dalam kedudukan untuk menjamin pindah milik lot tertentu,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah turut mendapati ADN telah melakukan kemungkiran asas.
“ADN telah menerima harga penuh tetapi gagal menyerahkan hak dan janji dan gagal memulangkan kembali wang yang diterimanya kepada pembeli-pembelinya.
“Kemungkiran ini menyentuh keseluruhan tujuan kontrak kerana plaintif berhak menamatkan transaksi dan mendapatkan semula harga belian,” katanya.
Katanya, mahkamah selanjutnya mendapati Adenan tidak dipertanggungjawabkan semata-mata kerana beliau juga seorang pengarah.
“Beliau ialah pelaku aktif yang mengawal ADN, menandatangani perjanjian jual beli, mengetahui hak milik dan pembayaran induk belum sempurna, terus menjual lot dan tidak memulangkan wang yang diterima dari plaintif.
“Representasi bahawa ADN mampu menyampaikan lot dibuat sekurang-kurangnya secara melulu tanpa peduli, sama ada representasi itu benar. Susulan itu ‘tort dispute’ iaitu pertikaian undang-undang sivil akibat perbuatan salah dibuktikan terhadapnya,” katanya.
Plaintif-plaintif diwakili peguam Bhavanash Sharma daripada Tetuan Bhavanash Sharma.
© New Straits Times Press (M) Bhd




