am@hmetro.com.my
\
Kuala Langat: Taktik sindiket yang menggunakan kawasan parkir lori di Telok Panglima Garang, di sini untuk menyimpan dan mengangkut minuman keras tidak bercukai berjaya ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi serbuan, semalam.
Serbuan itu turut membabitkan rampasan bernilai RM316,205.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin, berkata serbuan dijalankan hasil maklumat risikan awam pada jam 6.30 petang.
“Kami menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang disyaki menjaga kawasan terbabit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan minuman keras yang disimpan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jaffri berkata, terdapat lima lori yang diparkir di lokasi namun hanya dua daripadanya mengandungi pelbagai jenis minuman keras di ruang kargo belakang.
Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Kesemua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




