Tragedi renjatan elektrik: Sabah Electricity akan beri kerjasama penuh

Tragedi renjatan elektrik: Sabah Electricity akan beri kerjasama penuh

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan kes tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik di Weston, Beaufort, hari ini.

Sabah Electricity dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kehilangan tiga anggota berkenaan.

Menurut kenyataan, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan teknikalnya segera digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.

Katanya, pihaknya turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.

“Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Sabah Electricity komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai serta akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” menurut kenyataan itu, malam ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah anggota Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26.

3 anggota polis maut: Galah besi terkena kabel elektrik ketika jolok buah kelapa

Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top