Tol Selat Hormuz jejas ekonomi dunia akibat harga tenaga naik

Tol Selat Hormuz jejas ekonomi dunia akibat harga tenaga naik

LONDON: Cadangan pelaksanaan tol di Selat Hormuz seperti yang dikemukakan oleh Iran boleh menjejaskan kehidupan rakyat di dunia kerana ia akan menjejaskan ekonomi global disebabkan kenaikan harga bahan api.

Susulan itu, lapan persatuan perkapalan terbesar dunia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menentang pelaksanaan tol di Selat Hormuz setelah Iran dan Oman semakin hampir mencapai perjanjian untuk menguruskan laluan perairan penting tersebut.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez, kumpulan itu berkata, membenarkan pihak berkuasa mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui selat itu akan melanggar norma antarabangsa serta menjejaskan ekonomi global.

“Pengenalan caj transit wajib atau fi perkhidmatan yang hakikatnya merupakan tol akan menjadi penyimpangan besar daripada amalan antarabangsa yang telah lama diamalkan.

“Langkah itu boleh menggugat kerangka perundangan antarabangsa yang mengawal penggunaan selat bagi pelayaran dan transit antarabangsa,” jelas surat itu selepas isi kandungannya didedahkan kelmarin.

Menurut persatuan berkenaan, hak pelayaran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tidak sepatutnya dikompromi atau dijadikan sebahagian daripada rundingan politik lebih luas. Kewujudan ‘pondok tol’ secara kekal di Selat Hormuz akan meningkatkan harga tenaga, mencetuskan inflasi serta menambah ketidaktentuan ekonomi global.

“Kesannya akhirnya akan ditanggung oleh masyarakat di seluruh dunia kerana ia menjejaskan sumber pendapatan dan kos sara hidup. Kebebasan pelayaran perlu terus dipertahankan sebagai asas kepada tadbir urus maritim antarabangsa,” menurut surat itu.

Lapan pertubuhan yang menandatangani surat berkenaan ialah Persatuan Pemilik Kapal Asia (ASA), Majlis Baltik dan Maritim Antarabangsa (BIMCO), Persatuan Pelayaran Kapal Persiaran Antarabangsa (CLIA), Persatuan Pemilik Kapal Eropah (ECSA), Dewan Perkapalan Antarabangsa (ICS), Persatuan Antarabangsa Pemilik Kapal Kargo Kering (INTERCARGO), Persatuan Antarabangsa Pemilik Kapal Tangki Bebas (INTERTANKO) serta Majlis Perkapalan Dunia (WSC).

Ketua Dasar Perdagangan Yayasan Hinrich yang berpangkalan di Singapura, Deborah Elms berkata, sistem tol kekal akan memberi kesan besar kepada Asia yang merupakan pembeli utama eksport minyak dan gas dari Teluk.

Katanya, gangguan di Selat Hormuz akan menyebabkan kenaikan harga diesel, kekurangan bekalan bahan api, lonjakan harga baja, peningkatan kos dan kekurangan bekalan plastik.

Beliau berkata, sebahagian besar penghantaran minyak melalui Selat Hormuz boleh dialihkan menerusi saluran paip. Namun, penghantaran gas asli masih bergantung kepada laluan itu.

“Selat ini bukan kekangan utama kepada perkapalan kontena, tetapi jika tol turut dikenakan di laluan perairan lain, kapal kontena dan kapal pengangkut pukal akan menerima kesan yang jauh lebih besar,” katanya.

Iran mewujudkan sistem kutipan tol atau bayaran secara de facto di Selat Hormuz sejurus selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap negara itu pada 28 Februari.

Teheran melaksanakan sistem berkenaan pada Mei menerusi penubuhan Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi.

Keupayaan Iran melancarkan serangan terhadap kapal komersial di rantau itu membolehkan Teheran menguasai secara berkesan laluan strategik berkenaan, sekali gus memberinya kelebihan dalam rundingan menamatkan perang.

Puluhan serangan terhadap kapal dilaporkan berlaku sejak konflik tercetus dan kebanyakannya dipersalahkan ke atas tentera Iran. Sementara itu, IMO mengesahkan sebanyak 64 insiden dan 17 kematian direkodkan di rantau itu sejak perang bermula.

Gangguan terhadap perkapalan di Teluk masih berlarutan lebih lima bulan selepas konflik tercetus, dengan sekurang-kurangnya 6,000 pelaut masih terkandas di sekitar Selat Hormuz sehingga penghujung Julai, menurut IMO dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Sementara itu, Iran dan Oman dilaporkan bersetuju mengenai laluan baharu bagi kapal yang melalui Selat Hormuz dan sedang memuktamadkan pengaturan untuk mengurus laluan berkenaan secara bersama.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, kedua-dua negara telah bersetuju mengenai koordinat geografi laluan yang dicadangkan dan hanya menunggu kenyataan bersama dikeluarkan sekiranya tiada campur tangan pihak ketiga.

 

Scroll to Top