lokman.khairi@hmetro.com.my
Sungai Siput: Demi membesarkan tujuh anak yang semuanya masih belajar, pasangan suami isteri ini nekad menceburi bidang pertanian peria dan pelbagai sayur sejak 18 tahun lalu.
Samsina Shah Huran, 41, dari Kampung Pulau Kemiri, di sini, berkata, dia dan suami, Mat Jaman Mat Noor, 43, mula berkebun secara kecil-kecilan di hadapan rumah selepas berkahwin.
“Kami pertama kali tanam tembikai ketika anak sulung baru berusia sembilan bulan, ketika itu kami niat hendak beli barang keperluan seperti susu dan lampin untuk anak.
“Dulu kami tanam tembikai, kemudian pisang dan betik sebelum beralih kepada tanaman sayur-sayuran termasuk peria.
“Modal masa mula-mula kecil saja, tetapi kami belajar dari petani lain kerana nekad jadikan pertanian sebagai sumber pendapatan utama keluarga,” katanya.
Samsina berkata, mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan serangga, penyakit kulat serta faktor cuaca yang boleh menjejaskan hasil tanaman, serta mencari pasaran ketika awal memulakan perusahaan selain berdepan
“Peria mudah diserang serangga dan kulat. Kalau tak dijaga dengan baik, pertumbuhan pokok akan terbantut dan buah yang dihasilkan kurang berkualiti.
“Tahun lalu kami mengalami kerugian kira-kira RM4,000 apabila tanaman diserang penyakit sehingga terpaksa mencabut semua pokok, tiang buluh dan merawat semula tanah kebun sebelum menanam semula,” katanya.
Samsina berkata, dia dan suami bersyukur apabila mendapat bantuan baja daripada Jabatan Pertanian Perak yang banyak membantu meningkatkan hasil tanaman selain memberi panduan menguruskan kebun dengan lebih sistematik.
Katanya, pegawai jabatan itu turut turun padang meninjau keadaan tanaman dari semasa ke semasa serta memberi bimbingan kepada mereka.
Samsina berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Katanya, selepas lebih sedekad mengusahakan tanaman, mereka kini mengusahakan kira-kira 15 hektar tanah yang ditanam dengan peria, timun dan kacang botol secara bergilir.
Samsina berkata, tanaman peria mampu mengeluarkan hasil melebihi 10 tan bagi setiap musim antara 40 hingga 50 bakul, manakala hasil tuaian dipasarkan ke Pasar Borong Selayang serta Ipoh.
“Kami berhasrat memperluaskan lagi kawasan tanaman sekiranya terdapat tanah yang boleh dipajak bagi meningkatkan pengeluaran hasil.
“Selagi ada peluang untuk menambah kawasan tanaman, kami akan usahakan kerana permintaan terhadap sayur-sayuran sentiasa ada.
“Kami juga berharap dapat terus membesarkan tujuh anak dengan hasil titik peluh sendiri dan memberi mereka peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




