HOBART – Polis Persekutuan Australia (AFP) mengeluarkan imej perkembangan usia (age-progressed image) seorang pemandu bas yang hilang secara misteri sejak 1964 dalam usaha mendapatkan petunjuk baharu daripada orang ramai sempena Minggu Orang Hilang Kebangsaan 2026.
Mangsa, Gilbert Arthur Midson, kali terakhir dilihat pada 4 November 1964 selepas menamatkan syifnya di depoh Metropolitan Transport Trust di Hobart ketika berusia 23 tahun.
Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki itu bagaimanapun tidak pulang ke rumah, manakala kehilangannya disifatkan sebagai ‘luar biasa’.
Imej baharu yang menggambarkan wajah Midson pada usia sekitar 85 tahun dihasilkan secara manual oleh pelukis forensik AFP berdasarkan gambar lama, maklumat keluarga serta rekod polis tanpa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut AFP, penghasilan imej tersebut diharap dapat mencetuskan ingatan orang ramai yang mungkin pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai kehilangan berkenaan.
Kes Midson sebelum ini pernah melalui siasatan koroner dan operasi penggalian sebuah kawasan takungan air di South Hobart pada 2021, namun sehingga kini tiada petunjuk kukuh ditemui.
Unit Orang Hilang Polis Tasmania berkata, walaupun masa terus berlalu dan perhatian masyarakat semakin berkurangan, ahli keluarga mangsa masih hidup dalam penantian tanpa kepastian.
“Setiap individu yang hilang mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang terus berharap suatu hari nanti mereka akan memperoleh jawapan,” kata Sarjan Paul Devine.
Sementara itu, Pengerusi Crime Stoppers Tasmania, David Daniels menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat, walaupun dianggap kecil, supaya tampil membantu siasatan kerana ia mungkin menjadi petunjuk penting untuk merungkai misteri kehilangan tersebut.
Kempen Minggu Orang Hilang Kebangsaan 2026 membawa tema ‘Answers Still Matter’, sebagai tanda sokongan kepada keluarga yang masih menunggu jawapan mengenai kehilangan insan tersayang selepas puluhan tahun.



