Hizbullah tolak komunikasi secara langsung dengan Trump

Hizbullah tolak komunikasi secara langsung dengan Trump

WASHINGTON: Usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membuka saluran komunikasi secara langsung dengan Hizbullah dilaporkan gagal selepas beberapa percubaan Washington berhubung dengan kumpulan itu ditolak.

Percubaan terbaharu dilapor­kan berlaku pada akhir Mei apabila Trump menghubungi Duta Besar Lubnan ke Washington, Nada Hamadeh Moawad dan meminta untuk bercakap secara langsung dengan wakil Hizbullah.

Namun, Moawad memberi­tahu Trump beliau tidak dapat mengatur hubungan berkenaan, menurut seorang sumber diplomatik kanan yang dipetik Middle East Eye, kelmarin.

Penolakan itu berlaku beberapa hari sebelum Trump mendakwa pada 1 Jun beliau berkomunikasi dengan Hizbullah melalui wakil berpangkat tinggi yang tidak dikenal pasti dan mendapatkan persetujuan kumpulan itu untuk menghentikan semua serangan terhadap Israel.

“Pegawai ketika itu mula panik dan cuba mendapatkan nombor telefon sesiapa sahaja daripada Hizbullah. Mereka menghubungi kenalan yang berfahaman Syiah, termasuk beberapa syeikh secara rawak, bagi mencari individu yang sesuai untuk bercakap dengan Trump,” kata sumber.

Bagaimanapun, seorang sum­ber diplomatik kanan menafi­kan pegawai Lubnan melakukan usaha sedemikian.

“Trump kemudian menghu­bungi Duta Besar Moawad. 

“Beliau memberitahu duta berkenaan dengan nada marah dengan menyatakan mahu ber­cakap dengan seseorang daripada Hizbullah. Duta itu kemudian menjelaskan beliau tidak dapat mengatur hubungan ber­kenaan,” kata sumber diplomatik itu.

Menurut sumber yang me­ngetahui perbualan berkenaan, Moawad kemudian memaklumkan kepada pejabat Presiden Lubnan mengenai perkara itu dan bertanya mengenai tindakan yang perlu diambil.

“Duta itu menghubungi istana presiden dan menjelaskan apa yang berlaku. Beliau diarahkan supaya tidak melakukan apa-apa dan mengabaikan permintaan itu,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, pegawai Lubnan bimbang usaha memudahkan hubungan secara langsung tersebut akan meletakkan pihak presiden dalam kedudukan politik yang sukar.

Sejak April, kerajaan dan Presi­den Lubnan berusaha memastikan mereka menjadi satu-satunya wakil negara itu dalam sebarang rundingan antarabangsa.

Seorang pegawai kanan kese­lamatan Lubnan memberitahu Middle East Eye, AS sebelum ini turut beberapa kali menawarkan untuk membuka saluran komunikasi dengan Hizbullah, termasuk di bawah pentadbiran Trump. Namun, kesemuanya ditolak.

Menurut sumber itu, keputusan politik Hizbullah adalah untuk tidak membuka komunikasi secara langsung dengan pihak Amerika. – AGENSI

 

Scroll to Top