Padah batal 2,000 pesanan, pembeli acahan kena tahan

Padah batal 2,000 pesanan, pembeli acahan kena tahan

Kyodo: Seorang wanita ditahan baru-baru ini, kerana disyaki mengganggu operasi perniagaan selepas membuat dan membatalkan lebih 2,000 pesanan menerusi laman web penerbit manga terkenal, Shueisha, kata polis di sini, lapor Kyodo News.

Mayu Yoshida, 32, dari Osaka yang bekerja di sebuah restoran mengaku melakukan perbuatan itu dengan alasan tekanan hidup harian mendorong tindakannya, menurut Jabatan Polis Metropolitan.

Yoshida disyaki membuat tempahan dalam jumlah besar bagi patung figurin dan barangan dagangan siri manga popular, One Piece di kedai dalam talian Jump Characters Store milik Shueisha antara Julai 2024 hingga Mei 2025, sebelum membatalkan pesanan berkenaan sebelum pembayaran dibuat.

Polis berkata, Yoshida yang dipercayai menggunakan lebih 200 akaun untuk membuat pesanan itu.

Wanita itu didakwa sengaja membiarkan tempahan terbatal secara automatik dengan tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan atau enggan menerima bungkusan, selepas memilih kaedah pembayaran secara tunai semasa penghantaran (COD).

Shueisha membuat laporan polis pada Jun 2025 sebelum Yoshida ditahan pada Selasa lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top