SHAH ALAM: Tiga Rang Undang-Undang melibatkan hal ehwal Islam dan Mahkamah Syariah di Selangor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui pungutan suara yang dilakukan.
Ia melibatkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor (UUTKS) 1959 bagi mengasingkan kuasa Mahkamah Syariah serta memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang mendapat sokongan lebih dua pertiga iaitu 52 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.
Pindaan tersebut membawa kepada pengubalan RUU Enakmen Mahkamah Syariah yang kemudian perubahan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (EPAINS) 2003.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, secara keseluruhan RUU berkenaan merangkumi pengukuhan kedudukan Mahkamah Syariah, pentadbiran dan pengurusan fatwa serta peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Dalam pindaan yang kita buat adalah pertama memperjelaskan tafsiran agama Islam mengikut ASWJ, kedua membuatkan peruntukan baharu iaitu Enakmen Mahkamah Syariah yang sebelum ini duduk di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam.
“Disebabkan dia (merupakan institusi) kehakiman, jadi kita wujudkan Mahkamah Syariah yang bebas yang kena duduk di bawah enakmen khususnya. Jadi, pindaan-pindaan tersebut merupakan satu detik bersejarah bagi Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan Selangor memperkukuh kedudukan agama Islam dengan menetapkan ASWJ sebagai pegangan dan fahaman yang menjadi asas rujukan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.
Kemudian, DUN Selangor menerima pembentangan bagi mengemaskini pembuatan atau penggubalan dan pengurusan fatwa di negeri ini yang diselaraskan semula bagi menepati struktur sebenar di peringkat kebangsaan selepas peruntukan sedia ada tidak lagi selaras dengan amalan semasa.
Sebelum itu RUU Enakmen Mahkamah Syariah Selangor digubal bagi mengasingkan fungsi kehakiman Syariah di negeri ini dari pentadbiran di bawah Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi yang juga ADUN (PH-Seri Setia) memberitahu, pindaan ketiga-tiga RUU tersebut dijangka memudahkan pengurusan sebarang perkara atau undang-undang syariah yang bertindanan dengan sivil.
“Bila ada pertindanan, negeri takkan buat (meneruskan prosiding). Pendirian kita adalah, kita tangguhkan penggunaan enakmen-enakmen negeri yang ada pertindanan. Maksudnya, bukan kita kata orang itu tak boleh dihukum, tetapi kita serahkan di bawah akta di Persekutua.
“Contohnya macam salah guna logo halal. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tangkap, tetapi akta untuk denda kita pakai hukuman di bawah akta di Persekutuan (hukumannya lebih berat),” jelasnya. – UTUSAN




