SHAH ALAM – Kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines menjalani pemeriksaan saringan dadah mandatori sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan penerbangan susulan insiden penahanan seorang juruterbang, baru-baru ini.
Menurut Malaysia Aviation Group (MAG), langkah tersebut merupakan fasa pertama pelaksanaan saringan mandatori terhadap semua juruterbang di bawah syarikat penerbangannya dan dijangka selesai pada 15 Ogos 2026.
Juruterbang yang gagal melengkapkan pemeriksaan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mereka mendapat pengesahan kelayakan mengikut prosedur MAG serta keperluan kawal selia.
Selain saringan mandatori berkenaan, MAG turut akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat terhadap semua juruterbang aktif, melengkapi program ujian rawak yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran terhadap piawaian keselamatan dan telah bertindak pantas untuk memperkukuh saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang aktif.
“Keselamatan operasi dan kecergasan kru untuk bertugas adalah perkara yang tidak boleh dikompromi di MAG.
“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme majoriti besar kakitangan, kami akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia
PDRM sahkan penahanan juruterbang Malaysia kes dadah di Indonesia
Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia
Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup 26kg dadah
Kes juruterbang seludup 26kg dadah ke Indonesia: Polis teliti rakaman CCTV di KLIA
Juruterbang ditahan di Indonesia: Bagasi lepasi saringan KLIA, tiada objek mencurigakan dikesan
Kes dadah juruterbang Malaysia: MAHB beri kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa
Kes juruterbang seludup dadah: SOP keselamatan lapangan terbang diteliti semula
Pada 29 Julai, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
MAG menjelaskan, individu terbabit merupakan seorang Pegawai Kedua yang berada di tempat duduk lompat kokpit, sebagai pemerhati dan bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan tersebut.
Individu berkenaan juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian itu berlaku.
“Pesawat tersebut dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang yang berkelayakan,” katanya.
Sehubungan itu, MAG menyifatkan, tindakan individu berkenaan sebagai sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima dan bertentangan dengan piawaian profesional daripada kakitangannya.
Justeru, langkah diperkukuhkan dibina berdasarkan kerangka kecergasan bertugas sedia ada yang merangkumi saringan sebelum pekerjaan, pensijilan perubatan Kelas 1 untuk juruterbang, latihan berulang, ujian alkohol dan dadah secara berkala serta pemeriksaan pematuhan sebelum penerbangan.
“Pemeriksaan itu melibatkan lesen, pensijilan perubatan, latihan dan keperluan pengalaman terkini (recency requirements).
“Sebelum setiap penerbangan, kumpulan juruterbang yang bertugas turut melengkapkan penilaian IMSAFER bagi menilai tahap kesediaan fizikal dan mental antara satu sama lain untuk menjalankan tugas,” katanya.
IMSAFER merupakan senarai semak penilaian kendiri juruterbang sebelum penerbangan bagi menilai kecergasan bertugas yang merangkumi aspek penyakit, ubat, tekanan, alkohol, keletihan, emosi dan pengalaman terkini.
MAG memaklumkan kumpulan itu akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguatkuasaan serta badan kawal selia bagi melaksanakan cadangan penambahbaikan, memperkukuh langkah pencegahan dan memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan dalam operasi penerbangan.



