Adra Mikayla bawa cabaran negara ke China

Adra Mikayla bawa cabaran negara ke China

Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Wan Adra Mikayla Wan Mohd Muzri bakal membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa apabila dipilih menyertai Ohvale Guangzhou Supercup 2026 di Guangzhou, China dari 17 hingga 23 Ogos ini.

Lebih membanggakan, Adra Mikayla menjadi satu-satunya pelumba wanita negara yang akan beraksi dalam kejohanan membabitkan kira-kira 120 pelumba muda dari 30 negara itu.

Pengurus M8 Racing Team, Nik Azma Nik Day berkata, pemilihan Mikayla dibuat sepenuhnya berdasarkan merit dan prestasi cemerlang yang dipamerkannya sepanjang saingan SIC Ohvale Championship 2026.

Katanya, Adra Mikayla membuktikan kemampuan apabila konsisten menamatkan perlumbaan di kedudukan podium sekali gus melayakkannya membawa cabaran negara ke Guangzhou Conghua International Circuit.

“Pemilihan Mikayla bukan sekadar melengkapkan penyertaan Malaysia, sebaliknya berdasarkan prestasi yang dipamerkannya sepanjang musim ini.

“Lebih membanggakan, dia satu-satunya pelumba wanita yang dipilih mewakili negara. Ini peluang terbaik buatnya menguji kemampuan menentang pelumba terbaik dunia serta mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Menurut Nik Azma, perjalanan Adra Mikayla untuk berada di tahap itu bukan mudah apabila berdepan cabaran mendapatkan lokasi latihan yang sesuai selain kos latihan di litar utama yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada APDcrew Circuit yang menyediakan lokasi latihan sekali gus membolehkan Mikayla membuat persiapan lebih sempurna menjelang kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini antara cabaran terbesar ialah mendapatkan tempat latihan kerana kos berlatih di litar utama agak tinggi. Sokongan APDcrew Circuit memberi peluang kepada Mikayla menjalani latihan secara konsisten,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang menyalurkan bantuan kewangan bagi menyokong perkembangan karier Mikayla dalam sukan permotoran.

Penghargaan sama diberikan kepada Terengganuku Comey dan kerajaan negeri Terengganu yang menaja Team 4 Racing bagi menyertai pelbagai kejohanan di Malaysia.

Dalam pada itu, Adra Mikayla turut mendapat bimbingan Azlan Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Lan Jawa, yang juga bapa kepada pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan.

Menurut Nik Azma, pengalaman dimiliki Azlan, terutama dalam membimbing Qabil mencipta kejayaan di pentas FIM MiniGP World Series, memberi nilai tambah kepada perkembangan Adra Mikayla sebagai pelumba muda.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat dan individu tampil menghulurkan tajaan memandangkan penyertaan di pentas antarabangsa memerlukan kos tinggi membabitkan latihan, logistik serta persiapan perlumbaan.

“Kami masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin bersama membantu perjalanan Mikayla. Setiap bentuk tajaan amat bermakna kerana ia bukan sekadar menyokong seorang pelumba, sebaliknya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Nik Azma mengiktiraf peranan ZK Racing yang selama ini menjadi antara pemacu utama dalam mengetengahkan pelumba muda Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, komitmen ZK Racing bukan sahaja membantu penyertaan pelumba, malah aktif menganjurkan kejohanan yang menjadi platform penting mencungkil serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena permotoran negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top