Berita baik untuk warga ATM dan PDRM, tunggu 30 Ogos ini – Anwar

Berita baik untuk warga ATM dan PDRM, tunggu 30 Ogos ini – Anwar

am@hmetro.com.my

Melaka: Proses kenaikan pangkat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipermudah dan dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, kini sedang giat meneliti mekanisme pelaksanaan perkara itu.

“Perkara itu akan saya umumkan pada Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini di Stadium Merdeka,” katanya pada majlis Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.

Turut hadir, Shamsul Azri; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Beliau berkata, perkara itu pernah dibangkitkan beliau ketika berkunjung ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas bulan lalu.

Katanya, isu penyelarasan skim perkhidmatan dan kenaikan pangkat ini sebelum ini menjadi perhatian warga keselamatan berikutan perbezaan struktur gred berbanding sektor perkhidmatan awam biasa.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota tentera dan veteran, dengan merujuk kepada peningkatan peruntukan Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus berbanding pentadbiran terdahulu.

Bagi membuktikan komitmen terbabit, beliau turut mengumumkan peruntukan khas RM1 juta bagi kerja menaik naik taraf masjid dan surau di empat kem tentera utama di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.

Selain itu, Perdana Menteri turut meluluskan RM147,000 sebagai sumbangan kebajikan kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) merangkumi pelbagai formasi dan pasukan di empat kem tentera berkenaan.

“Keselesaan perumahan anggota tentera pula kini berada pada tahap keutamaan tertinggi menerusi perbaikan infrastruktur oleh Kor Jurutera.

“Bagi memastikan kebajikan warga pertahanan terus terbela, perincian lanjut berhubung penambahan peruntukan perumahan dan kemudahan asas dijangka akan diumumkan menerusi Pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top