Felda perlu kemuka laporan cadangan jual aset di bawah nilai belian – Anwar

Felda perlu kemuka laporan cadangan jual aset di bawah nilai belian – Anwar

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu yang didakwa pada nilai jauh lebih rendah berbanding harga pembelian asal.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan jualan tersebut selepas mendapati hotel berkenaan mahu dijual pada harga 100 juta pound Britain (RM549 juta), sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga 160 juta pound Britain (RM879 juta).

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan cadangan penjualan yang merugikan itu memandangkan warga peneroka Felda masih berdepan pelbagai kesukaran hidup dan memerlukan bantuan kerajaan untuk menambah baik kemudahan asas.

“Felda ini di bawah jagaan saya. Dua bulan lepas, pengurusan Felda datang minta saya tandatangan untuk penjualan hotel ini. Saya kata, nanti sekejap, ini berniaga apa macam ini? Jual harga rendah daripada sewaktu beli. Jadi saya tidak tandatangan. Saya kata, cari balik siapa yang buat kerja itu, buat laporan.

“Orang Felda, peneroka susah. Saya pergi kunjungan, dia (peneroka) kata hendak pendingin hawa, sekolah mahu baiki, pendapatan tak cukup. Tapi ini Felda pula (penjualan merugikan) senang-senang sahaja hilang,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak di sini pada Jumaat. 

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Perdana Menteri berkata, langkah meminta pihak Felda mengemukakan laporan lengkap itu adalah bagi mempertahankan Felda sebagai sebuah institusi penting di Malaysia.

“Kalau tidak (biarkan sahaja) sampai bila pun kita ini, agensi-agensi termasuk agensi Melayu yang kita banggakan, kita nak pertahankan, ini akan jadi apa. Jadi kita harus betulkan itu,” katanya. – Bernama 

 

 

 

Scroll to Top