Dibantu PAZA MAIWP, semoga kehidupan Hamidah dan keluarga lebih baik

Dibantu PAZA MAIWP, semoga kehidupan Hamidah dan keluarga lebih baik

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nasib ibu tunggal, Hamidah Yakkop yang hidup sebagai gelandangan bersama anak lelakinya dan bapa saudara selama hampir sembilan bulan, mendapat perhatian Pusat Agihan Zakat (PAZA) cawangan Bukit Bintang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ia hasil usaha Skuad Jejak Asnaf MAIWP yang menjejaki keluarga berkenaan di ibu negara, seterusnya menyediakan penempatan sementara buat mereka.

MAIWP menerusi PAZA cawangan Bukit Bintang berkata, Skuad Jejak Asnaf menemui keluarga berkenaan kira-kira 11 pagi semalam di kaki lima Stesen LRT Bandaraya ketika menjalankan aktiviti pemutihan bantuan sara hidup.

Katanya, gerakan menjejaki keluarga berkenaan sudah dijalankan selepas menerima kes melalui platform Mobile Jejak Asnaf (MoJA) berdasarkan laporan Harian Metro bertarikh 20 Julai lalu.

Bagaimanapun pencarian sebelum ini di sekitar stesen LRT dan pusat beli belah berhampiran tidak berjaya menemukan tiga sekeluarga itu.

“Selepas menemui mereka semalam, PAZA segera menyantuni dan mengambil tindakan lanjut bagi membantu menyelesaikan keperluan keluarga berkenaan.

“Mereka kemudian ditempatkan di dua bilik berasingan di sebuah bangunan di Jalan Ipoh sebagai tempat tinggal sementara.

“PAZA turut membantu dalam urusan penggantian kad pengenalan, MyKid anak, perbankan serta urusan berkaitan yang lain,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Menurut agensi itu lagi, Hamidah turut menerima bantuan lain merangkui bantuan sara hidup, bantuan deposit dan sewa rumah bulanan, bantuan kecemasan RM500 dan bantuan perubatan bagi bapa saudaranya yang mengalami masalah katarak mata.

“PAZA cawangan Bukit Bintang akan terus memantau kebajikan keluarga berkenaan bagi memastikan bantuan dan keperluan yang bersesuaian dapat disalurkan secara tepat, cepat dan berkesan.

“Kesejahteraan asnaf adalah keutamaan kami. Terima kasih kepada pembayar zakat dan kami adalah penghubung amanah anda,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Hamidah yang hidup sebagai gelandangan di sekitar ibu kota bersama anak lelaki dan bapa saudaranya selepas hilang tempat berteduh kerana tidak mampu membayar sewa bilik.

Dia yang sembilan tahun menjadi ibu tunggal terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci disebabkan tiada orang dapat membantu menjaga anak lelakinya yang berusia 10 tahun dan bapa saudara berusia 65 tahun yang juga cacat penglihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top