Messi, Rooney mungkin tersisih daripada senarai tetamu Ronaldo

Messi, Rooney mungkin tersisih daripada senarai tetamu Ronaldo

London: Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez dijangka melangsungkan perkahwinan di Madeira hujung minggu ini.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu bersama pasangan lamanya sudah menempah sebuah katedral di Funchal untuk majlis akad nikah, selain hotel lima bintang Savoy Palace bagi majlis resepsi.

Perkahwinan itu dijangka menjadi antara majlis selebriti terbesar tahun ini, sekali gus menyaksikan senarai tetamu menjadi rebutan.

Namun, mereka yang pernah berselisih atau mempunyai hubungan kurang baik dengan Ronaldo sepanjang kariernya mungkin tidak akan menerima jemputan.

Wayne Rooney

Rooney pernah membentuk gandingan berbisa bersama Ronaldo di Manchester United pada pertengahan hingga penghujung 2000-an, namun hubungan kedua-duanya tidak begitu rapat.

Perselisihan bermula apabila Ronaldo berkempen supaya Rooney dilayangkan kad merah ketika Piala Dunia 2006 sebelum mengenyitkan mata ke arah bangku simpanan.

Rooney kemudian mengkritik Ronaldo ketika pemain Portugal itu kembali menyertai United buat kali kedua pada 2021 hingga 2022. Ronaldo membalas dengan menyifatkan bekas rakan sepasukannya itu sebagai “cemburu” dalam temu bual bersama Piers Morgan.

Lionel Messi

Dua gergasi Ballon d’Or itu bersaing sengit untuk menentukan siapa pemain terbaik sepanjang zaman (GOAT) selama lebih dua dekad.

Hubungan mereka lebih berasaskan rasa hormat berbanding persahabatan rapat. Legenda Real Madrid dan Barcelona tentunya sukar untuk menjadi terlalu akrab.

Dengan Messi memenangi undian populariti menerusi lapan Ballon d’Or berbanding lima milik Ronaldo serta memiliki trofi Piala Dunia, kemungkinan besar dia tidak akan melakukan perjalanan ke Madeira hujung minggu ini.

Erik ten Hag

Pertelingkahan besar dengan Ten Hag menjadi antara punca berakhirnya tempoh kedua Ronaldo di Old Trafford.

Ronaldo berang selepas digugurkan oleh pengurus United ketika itu dan enggan masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika menentang Tottenham pada 2022.

Dia kemudian secara terbuka berkata tidak mempunyai “rasa hormat” terhadap Ten Hag sebelum kontraknya ditamatkan secara persetujuan bersama.

Ralf Rangnick

Ronaldo dilaporkan tidak begitu kagum apabila Rangnick dari Jerman mengambil alih United secara interim pada 2021.

Dia mengakui tidak pernah mendengar namanya dan tidak berminat dengan pendekatan permainan berasaskan tekanan tinggi yang diterapkan Rangnick.

Jamie Carragher

Legenda Liverpool itu berpendapat United melakukan kesilapan apabila menandatangani semula Ronaldo.

CR7 jelas mengambil perhatian terhadap kritikan itu apabila Sky Sports hadir di Old Trafford pada musim panas 2022.

Ronaldo menyambut bekas rakan sepasukannya, Roy Keane dan Gary Neville, di tepi padang tetapi langsung tidak mengendahkan Carragher.

Gary Lineker

Lineker secara terbuka menyokong Messi dan tidak yakin dengan dakwaan Ronaldo bahawa dirinya pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.

Selepas menyatakan pendirian itu, Ronaldo dilaporkan berhenti mengikuti Lineker di media sosial.

Lineker berkata dalam program The Rest Is Football: “Cristiano Ronaldo tidak begitu menyukai saya. Saya tidak pernah mengguris perasaannya dengan apa yang saya katakan mengenai dirinya, selain kerana saya jujur dan menganggap Messi secara keseluruhan adalah pemain bola sepak yang lebih baik.”

Alessandro Florenzi

Bekas pemain Itali dan AC Milan itu pernah bertelagah dengan Ronaldo ketika perlawanan pada 2019.

Florenzi yang ketika itu beraksi bersama Roma mengkritik Ronaldo kerana terus bermain ketika seorang pemain lawan sedang terbaring akibat kecederaan.

Ronaldo kemudian memberi isyarat supaya Florenzi diam dan turut mengejek ketinggiannya.

Namun, Ronaldo terpaksa menelan rasa kecewa apabila Florenzi menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 Roma.

Casemiro

Memandangkan pernah berkongsi bilik persalinan dengan Ronaldo di Real Madrid dan Manchester United, Casemiro mungkin dianggap antara calon yang pasti menerima jemputan perkahwinan.

Namun, pemain Brazil itu mungkin tersingkir daripada senarai tetamu susulan komen terbarunya mengenai Messi.

Selepas menyertai Messi di Inter Miami, Casemiro berkata: “Bagi saya, tanpa ragu-ragu, saya datang untuk bermain bersama pemain terbaik sepanjang zaman. Dia adalah salah seorang, jika bukan Tuhan dalam bola sepak.”

Antonio Cassano

Legenda bola sepak Itali dan bekas pemain Real Madrid itu pernah mengkritik hebat Ronaldo ketika pemain Portugal berkenaan beraksi bersama Juventus.

Cassano menyifatkan Ronaldo sebagai “mementingkan diri sendiri” dan mendakwa pemain itu “tidak tahu bagaimana” untuk bermain sebagai sebahagian daripada pasukan.

Cassano kemudian mendedahkan Ronaldo mendapatkan nombor telefonnya, menghantar mesej mengenai pencapaian bola sepaknya dan menuntut lebih banyak rasa hormat.

Sepp Blatter

Bekas Presiden FIFA itu pernah mempermainkan Ronaldo ketika berucap di Oxford Union pada 2013.

Blatter berkata Ronaldo menghabiskan “lebih banyak masa di salun rambut” berbanding Messi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top