Ahli perniagaan, pengacara bebas ditahan bantu siasatan podcast sentuh isu agama

Ahli perniagaan, pengacara bebas ditahan bantu siasatan podcast sentuh isu agama

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kandungan sebuah podcast yang didakwa menyentuh isu fahaman sekular, liberal dan agama, yang dimuat naik di platform media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata kedua-dua lelaki berkenaan ditahan semalam selepas pihaknya menerima laporan berhubung video klip podcast itu jam 11.54 pagi, Rabu lalu.

“Kandungan podcast yang dibincangkan oleh dua individu terbabit didapati menyentuh isu agama yang membabitkan elemen 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

“Susulan laporan yang diterima, polis membuka satu kertas siasatan sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan 60-an bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 60 an adalah seorang ahli perniagaan manakala seorang lagi adalah pengacara bebas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298, Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Polis Klang Utara komited menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan proses siasatan polis,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top