Bola 'Tangan Tuhan' bakal dilelong RM40.9 juta

Bola 'Tangan Tuhan' bakal dilelong RM40.9 juta

New York: Bola yang digunakan Diego Maradona untuk menjaringkan gol kontroversi ‘Tangan Tuhan’ ketika membantu Argentina menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986 dijangka dijual pada harga AS$10 juta (RM40.9 juta) dalam satu lelongan di Amerika Syarikat bulan ini.

Pada aksi di Stadium Azteca itu, Maradona menumbuk bola melepasi penjaga gol England sebelum Argentina menang 2-1 dan mara ke separuh akhir.

Selepas perlawanan, legenda Argentina itu berkata gol berkenaan dijaringkan “sedikit menggunakan kepala Maradona dan sedikit dengan tangan Tuhan.”

Argentina kemudian muncul juara dunia pada edisi berkenaan.

Syarikat Heritage Auctions yang berpangkalan di Texas menjangkakan bola itu mampu mencecah nilai lapan angka apabila dilelong dari 21 hingga 23 Ogos, dengan bidaan pembukaan AS$2.5 juta (RM10.2 juta).

Naib Presiden Bahagian Sukan Heritage Auctions, Dan Imler, menyifatkan bola itu sebagai antara artifak paling bersejarah dalam dunia bola sepak.

Menurutnya, bola sama turut digunakan Maradona untuk menghasilkan jaringan yang dikenali sebagai “Goal of the Century”, apabila menggelecek beberapa pemain England sebelum menewaskan penjaga gol.

“Kedua-dua gol itu sangat ikonik dan kekal dalam ingatan peminat bola sepak,” katanya.

Jersi yang dipakai Maradona ketika perlawanan Argentina menentang England itu masih memegang rekod sebagai jersi bola sepak paling mahal pernah dijual selepas dilelong pada harga AS$9.3 juta (kira-kira RM39.7 juta).

Maradona meninggal dunia pada November 2020.

Persaingan sengit antara Argentina dan England kembali menjadi perhatian apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir Piala Dunia tahun ini, dengan Argentina muncul pemenang sebelum tewas di pentas final.

Di luar padang, kedua-dua negara juga masih mempunyai pertikaian kedaulatan membabitkan Kepulauan Falkland.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top