Hanoi mulakan pengambilan sampel DNA askar tanpa identiti

Hanoi mulakan pengambilan sampel DNA askar tanpa identiti

Hanoi: Hanoi menyasarkan untuk menyelesaikan pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada tinggalan jasad askar yang terkorban dalam perang dan belum dikenal pasti identitinya menjelang Oktober, sebagai sebahagian daripada kempen di seluruh negara bagi mengenal pasti identiti anggota tentera yang hilang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut Timbalan Ketua Komisar Politik Pemerintahan Ibu Kota Hanoi, Kolonel Doan Chi Thang, ibu negara itu mempunyai 4,532 kubur askar tanpa identiti yang memerlukan pengambilan sampel DNA di 233 tanah perkuburan perang.

Jumlah itu termasuk 555 kubur di tiga tanah perkuburan yang diuruskan bandar raya, iaitu Mai Dich, Ngoc Hoi dan Nhon, manakala baki 3,977 kubur terletak di tanah perkuburan peringkat komun dan wad.

Pihak berkuasa telah menyelesaikan pengambilan sampel DNA di tanah perkuburan Ngoc Hoi membabitkan 48 kubur, manakala di tanah perkuburan Nhon, sampel berjaya diambil daripada 35 daripada 38 kubur.

Tiga kubur lagi tidak dapat diambil sampelnya disebabkan keadaannya.

Pengambilan sampel DNA di Tanah Perkuburan Mai Dich bermula pada Jumaat, membabitkan 469 kubur tanpa identiti. Pegawai menjangkakan kerja-kerja itu dapat diselesaikan menjelang 10 Oktober.

Kolonel Thang berkata bandar raya itu telah mengambil sampel DNA daripada tinggalan jasad 97 askar tanpa identiti di dua tanah perkuburan peringkat bandar raya dan empat tanah perkuburan peringkat komun serta wad.

Beliau berkata usaha itu berdepan pelbagai cabaran berikutan keadaan pengebumian yang sukar, termasuk kubur yang telah dipindahkan atau dibaik pulih beberapa kali sepanjang beberapa dekad, namun pihak berkuasa tetap komited untuk menyiapkan pengambilan sampel DNA di seluruh bandar raya itu menjelang Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top