PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan Dhia Zahraaxavieta Neelopher Harisman, 14, yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Pandan Indah, Ampang, di sini sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berkata, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit kira-kira pukul 8.34 malam, semalam.
Menurutnya, kehilangan Dhia Zahraaxavieta Neelopher disedari keluarganya pada 2 Ogos lalu kira-kira pukul 10 malam selepas mendapati mangsa tiada di rumah.
“Usaha mencari mangsa yang dilakukan pihak keluarga bagaimanapun tidak berhasil sebelum laporan polis dibuat.
“Dhia Zahraaxavieta Neelopher kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru dan seluar berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter dengan berat 40 kilogram, berkulit putih sawo matang serta mempunyai rambut panjang berwarna perang hingga paras separuh badan.
“Lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di Pangsapuri Sri Mayang, Pandan Indah Komersil Park, Ampang,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Dhia Zahraaxavieta Neelopher supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor menerusi talian 019-600 4104.
“Orang ramai turut diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja berkenaan kepada polis atau talian kecemasan MERS 999 dengan segera.
Khairul Anuar turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian.- UTUSAN




