mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Emak abang Isma tahu anaknya dipenjarakan semula, tapi emak tak tahu berapa tahun tempoh hukuman. Emak ingat macam yang sebelum ini,” kata Nor Haslinda Abdul Manaf, isteri kepada pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah yang dipenjarakan semula selama 30 tahun akibat kesalahan mengedar dadah.
Norhaslinda berkata, dia akan pulang ke kampung suaminya di Bukit Bangkong, Sepang, hari ini untuk bertemu mentuanya serta ahli keluarga suaminya.
“Emak dah berusia lebih 80 tahun dan tinggal dengan adik abang Isma. Adik beradik lain pun kerap balik kampung setiap minggu untuk tengok emak.
“Saya akan adakan perbincangan dengan keluarga untuk tindakan selanjutnya. Setakat ini juga saya akan berbincang dengan peguam berkenaan abang Isma.
“Mereka akan tentukan untuk bawa kes ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan sebagainya. Saya akan serahkan kepada peguam kerana mereka lebih arif dalam urusan ini. Kena ikut cakap peguamlah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, peguam juga akan berkunjung ke kampung suaminya untuk bertemu adik beradik bagi mencapai kata persetujuan bersama.
“Saya juga bersyukur dari segi sokongan moral banyak yang bersimpati dan minta saya bersabar atas dugaan ini. Kami tak sendirian.
“Sebenarnya saya penat apabila perkara ini berlaku. Ingatkan dah boleh bernafas lega. Baru nak rasa lega, abang Isma pun baru nak naik balik.
“Berkenaan operasi Warung Bapakku, kita cuba untuk berbincang dengan staf Isnin nanti termasuk berkenaan Kelab Myfriend,” katanya.
Menurutnya, segala kata putus akan dibuat selepas perbincangan.
“Kalau boleh terus buka, bukalah dan kalau tak boleh, tutuplah macam saranan abang Isma. Tapi sebenarnya bila buka warung, orang datang nak jumpa dia.
“Kalau tak ada dia, tak tahulah macam mana. Kalau nak kata pasal makanan, mana-mana pun boleh orang cari. Tapi kerana dia, walaupun jalan tak berturap dan kedai terlindung sampai ada yang sesat, orang tetap datang.
“Sekarang ini memang dua tiga bulan selepas Hari Raya, warung memang tengah naik. Ramai yang datang. Memang seronoklah pelanggan ramai, ‘bikers-bikers’ (kumpulan motosikal) pun datang.
“Abang Isma berniaga hanya pulang modal saja. Sikit pun dia tak ambil untung sebab belum mampu untuk bagi gaji untuknya. Malah dia pun hanya berkereta buruk ke sana sini,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, semalam menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya atas kesalahan mengedar dadah pada September 2021.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.
Noorin dalam keputusan itu memaklumkan hukuman penjara 30 tahun berkenaan bermula pada hari yang sama iaitu 7 Ogos 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




