asyikin.mat@hmetro.com.my
Shah Alam: Impiannya membina sebuah masjid sendiri belum tercapai kerana kekangan kewangan dan ia mencetuskan idea menggunakan kepakaran dalam bidang teknologi maklumat bagi membangunkan portal khas bagi membantu pembinaan masjid dan surau.
Masjidkita.my ialah sebuah portal digital percuma yang dibangunkan Ameer Shah Abdul Halim, 25, bagi menghimpunkan senarai masjid dan surau memerlukan dana pembangunan, pembaikan serta naik taraf.
Ameer Shah berkata, platform itu memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kewangan atau infaq secara terus kepada akaun rasmi institusi berkenaan.
Menurutnya, inisiatif bermula selepas dia melihat kisah pembinaan Masjid Sendayan, Negeri Sembilan yang memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
“Saya terfikir, takkanlah perlu tunggu sehingga memiliki wang yang banyak, baru boleh bina masjid.
“Saya berpendapat, jika belum mampu daripada segi kewangan, tetapi ilmu teknologi yang dimiliki boleh dimanfaatkan untuk menarik orang ramai mengumpul saham akhirat melalui cara membina masjid. Maka wujudlah portal ini,” katanya.
Katanya, setakat ini 30 masjid sudah disenaraikan dalam portal berkenaan yang kebanyakannya dari sekitar Lembah Klang.
“Saya menyasar memperluaskan senarai masjid dan surau seluruh negara dalam portal ini.
“Setiap masjid yang disenaraikan akan melalui proses semakan bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum dipaparkan kepada orang ramai.
“Saya hanya akan masukkan masjid yang mempunyai bukti kutipan rasmi seperti surat kelulusan atau maklumat yang disiarkan melalui laman web dan Facebook rasmi mereka.
“Kewujudan profil rasmi penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan,”katanya.
Mengulas lanjut, dia hanya mengambil masa enam jam untuk menyiapkan platform berkenaan.
“Saya lakukan pada lewat malam hingga menjelang Subuh dan tidak boleh melelapkan mata selagi tidak dapat menyiapkan portal.
“Bagi saya, ia sesuatu yang agak penting kerana saya benar-benar mahu ‘menyumbang’ kepada masjid melalui kepakaran yang dimiliki,” katanya.
Portal itu kemudian dikongsikan di platform Threads dan menerima maklum balas yang sangat positif daripada orang ramai termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ameer Shah berkata, beberapa pihak pengurusan masjid turut menghubunginya untuk mengucapkan terima kasih atas inisiatif itu.
Tambahnya, dia juga merancang untuk menjadikan MasjidKita.my sebagai platform rasmi untuk membantu masjid yang tidak mempunyai laman web atau saluran digital sendiri.
Graduan Politeknik Muadzam Shah, Pahang itu berkata, dia kini mengusahakan syarikat pembangunan perisian sendiri yang turut membangunkan pelbagai sistem pengurusan untuk masjid dan surau.
“Antaranya termasuk sistem Halakah bagi membantu ibu bapa memantau perkembangan bacaan al-Quran anak-anak serta sistem pengurusan badan khairat.
“Saya harap walaupun saya belum mampu membina masjid dengan wang sendiri, tetapi usaha melalui teknologi ini menjadi asbab lebih banyak masjid dan surau mendapat bantuan.
“Inilah kepuasan sebenar saya apabila dapat menggunakan ilmu dan kemahiran untuk membantu orang lain mencari pahala serta kemajuan Islam,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




