KOTA BHARU: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 dijangka menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) bernilai 8 bilion membabitkan pelbagai bidang termasuk kenderaan, teknologi dan pengurusan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia melibatkan kerjasama dengan syarikat tempatan dan luar negara.
Katanya, penganjuran tahun ini lebih menjurus kepada inovasi dan pemodenan sektor pertanian, selain menyaksikan peningkatan penyertaan pempamer antarabangsa.
“Antara penyertaan baharu ialah dari negara-negara Afrika dan Asia Tengah, selain pempamer dari China, Britain, Jepun dan Amerika Syarikat.
“Mereka juga ingin bersama dengan MAHA dan melihat perkembangan teknologi, terutama dalam bidang pertanian untuk kita kongsi teknologi itu antara negara-negara lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah MAHA 2026 Peringkat Zon Timur, di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, tumpuan terhadap inovasi dan teknologi amat penting ketika isu keterjaminan makanan menjadi agenda utama di seluruh dunia.
Katanya, rakyat dan kerajaan perlu bersama-sama memastikan bekalan makanan mencukupi dan terjamin, terutama mengambil kira kebergantungan Malaysia terhadap import makanan yang masih tinggi. – UTUSAN




