am@hmetro.com.my
Melaka: Perundingan politik menerusi media sosial perlu dihentikan seketika dan digantikan dengan perbincangan di meja rundingan yang lebih bijaksana.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, semua parti yang terlibat perlu membuka ruang perundingan secara baik bagi melihat bagaimana kebersamaan itu dapat dijadikan satu kenyataan dan membentuk satu pasukan yang kuat untuk mempertahankan Melaka.
Menurutnya, konsep Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berada dalam kerangka ‘BN Plus’, dengan mana-mana pihak boleh datang berunding.
“Kita buka perundingan dengan baik. Bukan kita berunding melalui media sosial kerana akan membentuk satu persepsi yang kurang sihat.
“Siapa sahaja boleh datang berunding, tak perlu suarakan dalam media-media sosial kerana dia tak berjumpa dengan saya lagi ataupun dengan Pengerusi Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, malam ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh dan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, BN Melaka akan mempertahankan 21 kerusi pada PRN akan datang, termasuk kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri lalu.
Katanya, pihaknya tidak memberikan kata putus berhubung pembahagian kerusi, sebaliknya akan menilai dan mengkaji sebelum memberikan pandangan sekiranya ia memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua parti politik.
Katanya, semua parti yang mempunyai persefahaman atau tidak mempunyai persefahaman diminta membuka ruang perundingan dan berbincang dengan baik.
Katanya, dinamika politik di Melaka tidak boleh diukur berdasarkan keputusan Parlimen kerana BN telah berusaha meyakinkan rakyat serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Pastinya senario itu tidak boleh diukur untuk menjadi ukuran pengagihan kerusi yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya.
Ditanya sama ada PAS sudah datang untuk mengadakan rundingan, Ab Rauf berkata setakat ini belum ada perundingan secara rasmi dengan parti berkenaan.
“Kita tidak ada perundingan secara rasmi lagi. Belum lagi.
“Tapi saya harap kita hentikan seketika perundingan politik melalui media sosial. Kita berunding dalam meja perundingan yang lebih bijaksana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
