Martin pecah rekod, kuasai petak utama GP Britain

Martin pecah rekod, kuasai petak utama GP Britain

Silverstone: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Jorge Martin mencipta rekod baharu litar Silverstone apabila meraih petak pertama Grand Prix Britain, hari ini.

Pelumba Aprilia itu mencatat masa terpantas 1 minit 56.160 saat pada sesi kelayakan untuk meraih petak utama keduanya bersama Aprilia.

Rekod litar berkenaan beberapa kali diperbaharui sepanjang sesi kelayakan sebelum Martin mencatat masa terpantas.

“Saya memberikan segala yang ada di litar. Sejujurnya, saya tidak menjangka dapat mencatat masa sepantas ini.

“Semalam kami mengesahkan bahawa perasaan terhadap jentera semakin baik dan hari ini kami membuat satu lagi kemajuan kecil.

“Berada di petak pertama sentiasa istimewa dan di Silverstone ia sesuatu yang berbeza. Jadi, kami akan cuba bekerja dengan baik dan memburu kemenangan,” katanya.

Dua pelumba Trackhouse, Raul Fernandez dari Sepanyol dan Ai Ogura dari Jepun yang kini menduduki tempat kedua kejuaraan, melengkapkan barisan hadapan.

Fabio Di Giannantonio daripada VR46 Racing mencatat masa keempat terpantas, manakala pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi yang baru kembali selepas menjalani pembedahan bahu, berada di tempat kelima.

Juara dunia bertahan, Marc Marquez pula sekadar mencatat masa keenam dan akan bermula dari barisan kedua selepas mengatasi adiknya, Alex Marquez.

Hanya 24 mata memisahkan lima pelumba teratas iaitu Martin, Ogura, Marquez, Bezzecchi dan Di Giannantonio menjelang perlumbaan pecut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top