Trak pikap lasak kini lebih moden bertenaga

Trak pikap lasak kini lebih moden bertenaga

lizamridzuan@hmetro.com.my

PENAWARAN enjin baharu menjadikan model ini tampil dengan ciri kuasa yang efisien sesuai buat kenderaan trak pikap bagi pelbagai penggunaan dan keperluan pemiliknya terutama yang membabitkan bahan api diesel.

Enjin 2.2 liter menjadi pembaharuan paling signifikan bagi Isuzu D-Max 2.2 Premium di Malaysia yang menggantikan unit 1.9 liter sebelum ini yang menawarkan peningkatan kuasa dan tork, malah dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih lancar serta cekap.

Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini yang menggabungkan prestasi, kecekapan bahan api dan tahap keselesaan yang dipertingkatkan.

Dari segi penampilan, perubahan yang dilakukan mungkin tidak begitu ketara pada pandangan pertama, namun cukup untuk memberikan wajah yang lebih moden dan kemas.

Bahagian hadapan menerima gril baharu dengan kemasan lebih agresif, dipadankan bersama lampu utama LED serta lampu kabus yang direka semula.

Rekaan keseluruhan masih mengekalkan identiti D-Max yang lasak, tetapi kini tampil lebih segar berbanding model terdahulu.

Di bahagian sisi, rim aloi dua tona bersaiz 18 inci menyerlahkan lagi imej premium varian ini, manakala lengkungan roda yang besar dan kelegaan tanah yang tinggi terus memberi keyakinan untuk mengharungi laluan tidak berturap.

Di belakang pula, lampu LED baharu bersama fungsi ‘tailgate assist’ memudahkan proses membuka dan menutup pintu ruang kargo, terutama ketika membawa muatan berat.

Ruang kabin turut menerima beberapa sentuhan baharu yang menjadikannya lebih selesa dan berkualiti.

Tempat duduk dibalut kulit dengan corak jahitan baharu, sementara panel pintu dan kemasan papan pemuka tampil lebih kemas.

Walaupun susun atur kabin tidak banyak berubah, kedudukan semua suis dan kawalan masih mudah dicapai, sekali gus memudahkan pemandu mengendalikan pelbagai fungsi ketika memandu.

Sistem infotainmen menggunakan skrin sentuh 10 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain paparan meter pelbagai maklumat yang mudah dibaca.

Ciri seperti kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, penyaman udara automatik serta beberapa ruang simpanan praktikal menjadikan kabin ini sesuai untuk perjalanan jauh mahupun kegunaan harian.

Nadi utama D-Max 2.2 Premium ialah enjin diesel empat silinder 2.2 liter RZ4F-TC berkapasiti 2,164 cc yang menghasilkan 163 PS dan 400 Nm tork.

Berbanding enjin 1.9 liter sebelum ini, peningkatan output tersebut jelas dirasai terutama ketika membawa muatan atau memecut untuk memotong kenderaan lain di lebuh raya.

Kuasa enjin disalurkan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan yang menggantikan kotak gear enam kelajuan sebelum ini.

Sepanjang pandu uji, pertukaran gear terasa lebih lancar dan pantas tanpa sebarang sentakan yang mengganggu.

Pada kelajuan lebuh raya, putaran enjin juga lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan bunyi enjin dan penggunaan bahan api.

Apa yang paling menyerlah ialah karakter enjin baharu ini yang cukup responsif sebaik pedal pendikit ditekan.

Tork maksimum hadir seawal sekitar 1,600 rpm menyebabkan D-Max bergerak dengan mudah walaupun membawa penumpang penuh atau muatan di bahagian belakang.

Bunyi enjin diesel juga lebih senyap berbanding sebelum ini, menjadikan perjalanan jauh lebih menyenangkan.

Dari aspek pengendalian, D-Max 2.2 Premium memberikan keyakinan yang tinggi sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya.

Stereng terasa lebih tepat dengan maklum balas yang baik, sementara sistem suspensi berjaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata dengan berkesan.

Walaupun masih menggunakan casis ‘ladder-frame’, ia tidak lagi terasa terlalu melantun ketika dipandu tanpa muatan.

Keupayaan luar jalan pula sememangnya menjadi antara kekuatan D-Max. Sistem pacuan empat roda dengan pilihan mod 2H, 4H dan 4L digandingkan bersama ‘Rough Terrain Mode’ serta ‘differential lock’ belakang membolehkan trak pikap ini meredah laluan berlumpur, berbatu atau berpasir dengan penuh yakin.

Sudut mendaki yang baik serta keupayaan meredah air yang tinggi turut memberikan kelebihan kepada mereka yang gemar aktiviti lasak.

Dari aspek keselamatan, Isuzu D-Max 2.2 Premium dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang merangkumi Sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Mengekalkan Lorong, Pemantau Titik Buta, Amaran Trafik Lintas Belakang serta Bantuan Pergerakan Trafik (Traffic Move Assist).

Selain itu, trak pikap ini turut dilengkapi tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menuruni Bukit bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam pelbagai situasi pemanduan.

Isuzu D-Max 2.2 Premium dipasarkan pada harga RM141,821 tidak termasuk insurans dan cukai jalan di Semenanjung Malaysia dan dengan penambahan enjin baharu, transmisi lapan kelajuan serta senarai kelengkapan yang lebih lengkap, harga tersebut dilihat masih kompetitif berbanding beberapa pencabar utama dalam segmen trak pikap.

Secara keseluruhannya, Isuzu D-Max 2.2 Premium bukan sekadar menerima nadi baharu, malah turut membawa peningkatan yang benar-benar memberi kesan kepada pengalaman pemanduan.

Menerusi bahan api diesel 76 liter penulis mencatatkan perjalanan melebihi 800 kilometer (km) dan selain mampu menggalas tugas berat pada hari bekerja, tetapi dalam masa sama masih sesuai untuk membawa keluarga pada hujung minggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top