Bersatu dakwa hak dalam PN dilanggar

Bersatu dakwa hak dalam PN dilanggar

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai hak untuk hadir dan memberikan pandangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) berdasarkan Fasal 7 Perlembagaan PN.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, hak itu bagaimanapun dilanggar apabila Bersatu dihalang daripada menghadiri Mesyuarat MT PN pada 16 Julai 2026.

Menurutnya, mesyuarat itu antara lain membincangkan pembahagian kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, termasuk keputusan yang didakwa bertujuan menghalang Bersatu daripada bertanding menggunakan logo PN.

“Malah, dua kerusi incumbent Bersatu iaitu Labu dan Gemas telah diagihkan kepada BN dan Wawasan,” katanya.

Marzuki berkata, Bersatu kemudiannya didakwa kehilangan keanggotaan dalam PN secara automatik selepas parti itu bertanding menggunakan logo sendiri serta mengumumkan hasrat membentuk gabungan baharu.

Bagaimanapun, katanya, tiada satu fasal pun dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti tergugur secara automatik.

“Ini bukan soal Bersatu terhegeh-hegeh nak kekal duduk dalam PN. Tapi ia soal hak, peraturan dan perlembagaan yang mesti dipatuhi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di Facebook berkata, pihak terbabit sepatutnya mempunyai ‘moral courage’ untuk menerima hakikat bahawa tindakan mereka menyebabkan ‘hilang’ hak keadilan dalam gabungan.

Kenyataan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pertikaian mengenai kedudukan Bersatu dalam PN susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu terkeluar secara automatik daripada gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, persoalan yang timbul ialah bagaimana amanah untuk mentadbir negara secara adil dan saksama dapat dipikul sekiranya hak yang termaktub dalam perlembagaan parti sendiri didakwa dilanggar secara semberono.

“Jadi, tidak perlulah anda bercakap mengenai ‘moral courage’ apabila apa yang anda lakukan terhadap Bersatu adalah langsung tidak bermoral dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Scroll to Top