am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Lebih 10,000 penduduk daripada empat kampung di Kempas di sini hidup dalam kebimbangan susulan kegiatan pembakaran secara terbuka di sebuah premis barangan lusuh di Jalan Kempas Lama – Seelong di sini.
Lebih membimbangkan, premis berkenaan yang dipercayai beroperasi secara haram sejak beberapa tahun lalu itu hanya terletak 12 meter daripada saluran paip gas, sekali gus berisiko menyebabkan bencana besar seperti yang berlaku di Putra Heights, Selangor tahun lalu.
Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi, 47, berkata, pihaknya menerima aduan penduduk berkenaan kegiatan pembakaran terbuka di premis berkenaan sejak Mac lalu, termasuk dakwaan beberapa penduduk mengalami sesak nafas dan terganggu dengan bau asap.
Katanya, pihaknya sudah beberapa kali membuat laporan dan susulan kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui ahli majlis serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Ketika itu penduduk mengeluh kerana ada anak mereka mengalami sesak nafas dan terdapat bau sesuatu yang terbakar. Saya kemudian membuat laporan kepada MBJB melalui ahli majlis.
“Ahli majlis memaklumkan perkara itu sudah disampaikan kepada SWCorp dan jabatan berkaitan, malah saya dimaklumkan premis berkenaan diberikan tempoh dua minggu untuk mengosongkan dan membersihkan barangan di situ.
“Bagaimanapun, selepas tempoh itu penduduk kembali bertanya kerana mereka melihat semakin banyak lori masuk ke premis berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Katanya, aduan kepada JAS turut dibuat penduduk menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada April lalu, namun penduduk terbabit mempersoalkan perkembangan aduan berkenaan.
Rafizal berkata, kegiatan pembakaran itu bukan sahaja menimbulkan pencemaran asap, malah kebimbangan utama penduduk adalah kedudukannya yang terlalu hampir dengan saluran paip gas.
“Penduduk sendiri selalu cakap, kalau berlaku letupan, bukan satu kawasan saja yang terjejas, malah boleh merebak ke kampung lain.
“Itulah kebimbangan utama kami kerana jaraknya saya difahamkan hanya kira-kira 12 meter daripada saluran paip gas,” katanya.
Rafizal berkata, kira-kira 10 pekerja warga asing dipercayai berada di premis berkenaan, namun hanya tiga berjaya ditahan sebelum sebahagiannya lagi melarikan diri ketika operasi.
Beliau berkata, premis berkenaan juga dipercayai tidak lagi mempunyai lesen yang sah selepas lesen terdahulu tamat beberapa tahun lalu.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sri Aman, Khairul Amin Mahmodiah, 35, berkata, pembakaran di premis itu dilakukan hampir setiap hari terutama pada sebelah malam.
“Kerisauan paling utama adalah saluran paip gas di sebelah premis. Walaupun pembakaran dibuat di bahagian tengah dari luar kita boleh nampak api yang besar dari luar premis.
“Kita tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku terlebih dahulu baru tindakan diambil. Kita mahu ia dicegah sebelum berlaku perkara lebih serius,” katanya.
Beliau berkata, selain pembakaran secara terbuka, premis itu juga didakwa menternak ayam dan melakukan proses penyembelihan hingga menyebabkan pencemaran bau dan lalat di sekitar kawasan berkenaan.
Justeru, penduduk menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April tahun lalu memusnahkan 87 rumah dan merosakkan 148 kediaman yang lain. Lebih 1,200 penduduk daripada 300 keluarga terjejas akibat kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




