‘Sindrom penafian’ MAG dipersoal King Sing, gesa saringan kru penerbangan diperketat

‘Sindrom penafian’ MAG dipersoal King Sing, gesa saringan kru penerbangan diperketat

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG) berhubung penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia sebagai menunjukkan ‘sindrom penafian’.

Kes perlu dilihat sebagai amaran serius

Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan, kes berkenaan perlu dilihat sebagai amaran serius kerana bukan sekadar membabitkan individu, sebaliknya turut mendedahkan kelemahan dalam sistem penerbangan.

“Penumpang mempersoalkan mengapa Malaysia Airlines lebih menekankan bahawa individu berkenaan tidak mengendalikan penerbangan, bukannya terlebih dahulu memohon maaf kepada orang ramai dan menangani isu tersebut.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat usaha untuk memperkecil tahap keseriusan kes berkenaan,” katanya.

Gesa pemeriksaan sebelum bertugas lebih ketat

Tiong menambah pihak berkuasa kawal selia penerbangan dan agensi berkaitan perlu mengkaji semula pengurusan dalaman, kawalan keselamatan serta langkah pencegahan risiko bagi menjamin keselamatan penumpang.

Beliau turut menggesa pemeriksaan sebelum bertugas yang lebih ketat terhadap juruterbang dan kru kabin dibangunkan serta dikuatkuasakan.

“Kalau tiada apa-apa berlaku, mereka menganggap sistem itu tidak mempunyai masalah. Apabila masalah berlaku, barulah siasatan dibuat, penjelasan diberikan dan tindakan diambil,” katanya.

Menurut beliau, keselamatan penerbangan perlu menjadi sebahagian daripada prosedur dan pemantauan harian, selain menegaskan semua pihak perlu bekerjasama menutup sebarang kelompangan bagi memulihkan keyakinan terhadap sektor penerbangan Malaysia.

Sumber: Bernama

Scroll to Top