Shafie Apdal bimbang penularan berita palsu kaitkan Warisan

Shafie Apdal bimbang penularan berita palsu kaitkan Warisan

KOTA KINABALU – Parti Warisan (Warisan) menyatakan kebimbangan terhadap penularan berita palsu mengaitkan parti itu sehingga menggunakan kepala surat parti termasuk surat yang didakwa menggunakan tandatangan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata, kebimbangannya itu juga berkaitan penularan surat palsu yang menggunakan kepala surat Warisan, termasuk surat yang mendakwa parti itu menarik diri daripada kerajaan.

“Fitnah-fitnah ini, kalau dalam politik pun janganlah keterlaluan sangat sehingga berlaku fitnah seumpama ini. Contohnya, surat yang ada tandatangan saya, tetapi lain tandatangan kononnya supaya orang ini dibebaskan daripada tahanan imigresen.

“Lepas itu pula, surat mengenai Warisan menarik diri daripada kerajaan. Sebenarnya semuanya fitnah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di sini, pada Ahad.

Menurut Mohd Shafie, penularan bahan berkenaan turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakan-rakannya apabila ada yang menghubunginya bagi mendapatkan kepastian mengenai kesahihan maklumat terbabit.

“Kadang-kadang surat layang, sehingga rakan-rakan ada yang hubungi saya bertanyakan adakah ini betul.

“Jadi fitnahnya itu pelbagai corak, pelbagai kaedah,” katanya.

Beliau berkata, tidak mahu perkara berkenaan berterusan, pihaknya telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Saya harap pihak yang berwajib (ambil tindakan) menerusi laporan polis yang dibuat, mereka juga sedang menunggu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), barulah susulan tindakan akan diambil terhadap pihak-pihak ini.

“Kita mahu tahu bukan hanya kita minta polis supaya kenal pasti siapa orangnya tapi siapa di sebaliknya, apa tujuan mereka,” katanya.

Mohd Shafie turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan penyebaran fitnah sedemikian terus berlaku, terutama menjelang pilihan raya.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya kritikan atau dakwaan yang dibuat adalah benar, namun tindakan menyebarkan maklumat palsu tidak seharusnya dijadikan alat politik.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr berkata, pihaknya turut mengarahkan pasukan peguam mengambil tindakan sivil terhadap individu yang disyaki terbabit dalam penyebaran bahan berkenaan.

“Pada masa sama kita arahkan peguam untuk mengambil tindakan sivil ke atas suspek,” katanya.

 

 

Scroll to Top